Khalid Samad dakwa Jais diperalat halang beliau bertanding PRU14

Khalid-Samad_jais_600SHAH ALAM: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendakwa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mungkin diperalatkan pihak tertentu untuk menghalang beliau bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau mengulas tindakan Jais memfailkan rayuan pada minggu lalu bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam yang membenarkan denda RM2,900 dikurangkan kepada RM1,900 atas kesalahan mengajar Islam tanpa tauliah sah di sebuah surau, 6 tahun lalu.

“Saya melihat ia seolah-olah satu cara menghalang saya daripada terus menjadi ahli Parlimen dan kalau itu niat sebenar di sebalik tindakan Jais, maka ia amat mengecewakan kerana membenarkan pandangan peribadi bagi mana-mana pihak yang tidak suka saya sebagai ahli Parlimen ini untuk menggunakan Jais sebagai batu loncatan,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Pada 19 Januari lalu, Mahkamah Rendah Syariah Klang menjatuhkan denda RM2,900 ke atas Khalid yang didapati bersalah melanggar Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 kerana menyampaikan ceramah mengenai kunjungannya ke Palestin pada 2011, di Surau Taman Seri Sementa, Klang, pada 16 Ogos 2011.

Pada 24 November lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengekalkan keputusan bersalah Khalid mengajar agama tanpa tauliah pada 2011, tetapi hakim mengurangkan denda yang dikenakan kepadanya daripada RM2,900 kepada RM1,900 membolehkannya terus memegang jawatan wakil rakyat dan bertanding pada PRU14.

Perkara 48 (1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyatakan ahli Parlimen akan hilang kelayakan selama 5 tahun, jika disabit kesalahan dan dijatuhkan hukuman penjara lebih setahun atau denda lebih RM2,000.

Mengulas lanjut, Khalid yang juga pengarah komunikasi Amanah mengulangi desakan kepada kerajaan negeri melalui exco agama dan Jais menjelaskan definisi mengajar agama di masjid dan surau.

“Saya sekali lagi desak pihak kerajaan negeri dan Jais memberi takrif mengajar kepada persoalan tauliah ini, nak cakap pasal Islam pun tak boleh, apa yang saya buat sebelum ini bukan mengajar, tapi berkongsi pengalaman di Gaza, ada beza antara mengajar dan bercakap.

“Saya harap kerajaan Selangor melalui exco akan ambil berat kerana kita tidak mahu Islam itu dipenjara, nak cakap Islam tak boleh, macam negara komunis.

“Kita sebagai orang Islam sepatutnya kita galakkan orang bercakap tentang Islam, selagi mana ia bukan ajaran sesat,” katanya yang mengemukakan permohonan mendapat tauliah lebih 5 kali, tetapi semuanya ditolak Jais.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/12/11/khalid-samad-tak-cabar-sabitan-salah-ceramah-tanpa-tauliah/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/01/19/khalid-samad-didenda-rm2900-kerana-berucap-dalam-surau/