Dr Mahathir fail saman isytihar laporan RCI tidak sah

mahathir-bnm-forex-1

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad memfailkan saman bagi mengisytiharkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian ditanggung Bank Negara Malaysia (BNM) dalam urus niaga mata wang (forex) sekitar 1990-an, tidak sah dan terbatal kerana tidak memasukkan dokumen undang-undang yang dikemukakan saksi dan nota prosiding.

Bekas perdana menteri itu dalam saman pemula yang difailkan di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini hari ini berkata, keterangan lisan saksi dalam bentuk transkrip bertulis atau rakaman video, juga tidak dilampirkan dalam laporan itu.

Katanya, laporan itu juga gagal memasukkan hujah bertulis yang diserahkan peguam selepas prosiding itu.

Dr Mahathir menamakan panel 6 anggota RCI dipengerusikan Tan Sri Mohd Sidek Hassan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Kabinet dan kerajaan sebagai defendan kerana mereka gagal atau tidak memasukkan dokumen itu dalam laporan berkenaan.

Pengerusi Pakatan Harapan itu yang mendakwa RCI ditubuhkan dengan motif tersembunyi kerana beliau kini bersama parti pembangkang, meminta kos dan ganti rugi yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Awal bulan ini, Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Dr Mahathir berkata, dokumen seperti “tajuk perbincangan” dalam inkuiri itu, hujah bertulis anak guamnya, undang-undang kes untuk menyokong hujah mereka dan keseluruhan nota prosiding tidak dimasukkan dalam laporan RCI itu.

Katanya, semua dokumen itu perlu dilampirkan dalam laporan RCI untuk pembaca menganalisis penemuan dan membuat kesimpulan sendiri.

Pada 4 Disember lalu, beliau menulis surat kepada Setiausaha RCI, Datuk Dr Yusof Ismail untuk memasukkan 495 halaman dokumen undang-undang yang dikemukakan Dr Mahathir dan transkrip prosiding itu dalam bahasa Malaysia dan Inggeris menjelang 8 Disember.

Haniff berkata, sebarang percetakan dan pengedaran laporan RCI perlu dihentikan sehingga perkara itu dibetulkan.

RCI itu membuat kesimpulan terdapat unsur fakta dan maklumat tersembunyi berkaitan kerugian forex ditanggung BNM dan kenyataan mengelirukan yang diberikan kepada Kabinet, Parlimen dan orang ramai.

RCI dalam laporan setebal 400 muka surat itu menyalahkan bekas penasihat BNM, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop atas kerugian RM31.5 bilion yang ditanggung bank pusat itu dalam urus niaga forex pada 1992 hingga 1994.

RCI turut mengesyorkan polis menyiasat Dr Mahathir, bekas menteri kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ahli lembaga pengarah BNM, Jabatan Audit Negara dan Kementerian Kewangan.