Kes bunuh-gilis JB: 4 suspek guna nombor plat palsu dikenal pasti

Kes bunuh-gilis JB: 4 suspek guna nombor plat palsu dikenal pasti

Mangsa disahkan meninggal dunia akibat tikaman dan polis giat mengesan 4 suspek terbabit.

Khalil-Kader1
JOHOR BAHRU: Polis mengenal pasti 4 suspek yang terbabit dalam kes membunuh seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi, malam tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, usaha giat dijalankan bagi mengesan dan menahan 4 suspek tersebut.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kenderaan BMW 520i yang dinaiki suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Pemilik asal berjaya dikesan dan setelah ditemu bual, kami dapati tiada kaitan dengan kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bedah siasat yang dijalankan Hospital Sultanah Aminah mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat tikaman.

Khalil turut meminta sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi balai polis terdekat atau hotline polis Johor di talian 07-2212999.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam itu, mangsa berusia lingkungan 30-an mati selepas ditikam dan dilanggar menggunakan sebuah kereta jenis BMW oleh sekumpulan lelaki.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa bersama seorang wanita warga asing berusia 20-an yang dipercayai isterinya sedang mengisi angin tayar kereta di stesen berkenaan, sebelum didatangi suspek yang cuba menarik mangsa ke dalam kereta mereka.

Mangsa bagaimanapun dilaporkan melawan dan akibat itu berlaku pergelutan antara suspek dan mangsa.

Melihat kejadian itu, wanita yang bersama mangsa terus melarikan diri meminta bantuan orang awam.

Mangsa berjaya meloloskan diri seketika, namun suspek kemudian membuat pusingan di stesen minyak itu sebelum menggilis mangsa dan mengundurkan kenderaan untuk melanggar mangsa sekali lagi sebelum melarikan diri.

Kejadian bunuh di stesen minyak itu tersebar di laman sosial melalui rakaman video orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Lelaki dibunuh di khalayak ramai di stesen petrol JB

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.