Bukan isu besar, kata Tian Chua mengenai waran tangkap

Bukan isu besar, kata Tian Chua mengenai waran tangkap

Mahkamah Tinggi mengeluarkan waran tangkap selepas Ahli Parlimen Batu itu gagal menghadirkan diri untuk pengurusan kes.

tian-chua-court-gavel-malaysia
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Batu Tian Chua hari ini berkata waran tangkap yang dikeluarkan terhadap beliau kerana gagal hadir di Mahkamah Tinggi bukan isu besar.

Waran dikeluarkan kerana Chua tidak hadir di mahkamah untuk pengurusan kes rayuannya terhadap pensabitan dan hukuman selepas beliau didapati bersalah membuat kenyataan menghasut 4 tahun lalu.

Chua ketika dihubungi berkata beliau tidak hadir kerana kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes, dan “lazimnya, kita tidak perlu hadir”.

“Bukan isu besar. Saya cuma perlu hadir ke mahkamah esok pagi,” katanya kepada FMT.

Chua dan peguamnya tidak hadir pendengaran pertama rayuan itu di mahkamah pada 4 petang tadi, menyebabkan Hakim Sofian Abd Razak mengeluarkan waran itu.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zain Ibrahim tampil bagi pihak pendakwaaan.

Sementara itu, peguam Chua, Latheefa Koya menjelaskan anak guamnya tidak hadir di mahkamah kerana kehadirannya tidak diperlukan untuk pengurusan kes sebelum ini.

“Sebenarnya, dia tidak sedar akan pengurusan kes hari ini, yang hanya dimaklumkan kepada kami selaku peguamnya.

“Kami akan hadir ke mahkamah dan menjelaskan keadaan kepada hakim, dan akan memohon waran tangkap itu dibatalkan,” katanya.

Pada September tahun lepas, Chua didapati bersalah kerana menghasut berkenaan suatu kenyataan yang dibuat di suatu forum pada 2013 di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.

Beliau dijatuhkan hukuman penjara 3 bulan dan denda RM1,800. Chua sedang merayu terhadap pensabitan dan hukuman itu, manakala pendakwa raya merayu hukuman yang lebih keras.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.