Saya tak makan dedak, artis pun ada hak, kata Azwan

Azwan Ali menyerahkan bukti dan keterangan kepada SPRM selama sejam, hari ini
Azwan Ali menyerahkan bukti dan keterangan kepada SPRM selama sejam, hari ini

PUTRAJAYA: Selebriti kontroversi, Azwan Ali menolak dakwaan beliau dibayar pihak tertentu untuk mendedahkan bukti salah laku dan penyelewengan dalam kerajaan Selangor, menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Kenapa dikatakan saya makan dedak, tapi artis yang menyokong pembangkang itu dedak apa? Dedak basi kot. Senang-senang kata aku dapat dedak, kau pun dedak juga. Ingat aku tak tahu itu menunjukkan artis ada hak, semua orang ada hak.

“Semalam, saya menerima panggilan bertalu-talu daripada pemimpin-pemimpin pembangkang yang mengucapkan tahniah kepada saya.

“Terkini, saya tahu ramai yang mencaci hina saya, kata pendedahan saya sebab PRU14. Ini semua kerana Allah. Kau sekolah ke tak? Kau janganlah nak pusing cakap,” katanya di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini.

Adik kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali itu menyerahkan bukti yang didakwa disimpannya sejak 30 tahun lalu dan memberi keterangan kepada SPRM selama sejam.

Katanya, beliau turut menemui Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki.

Bagaimanapun, Azwan enggan mendedahkan individu dalam kerajaan Selangor yang didakwanya terbabit dalam salah laku, penyelewengan dan mempunyai kemewahan melampau.

“Saya telah serahkan dokumen bukti kepada SPRM, saya percaya SPRM akan menyusul tindakan mereka. Saya bukan orang yang berhak mendedahkan semua dokumen kerana ia bersifat P&C dan boleh menjejaskan siasatan.

“Saya tidak boleh beritahu siapa individunya. Ia sangat sulit, kena tunggu dan lihat. Saya bawa banyak bukti hari ini. Saya hadir untuk kes salah laku, rasuah dan kemewahan melampau,” katanya.

Kelmarin, media melaporkan Azwan menemui Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim bagi membuat aduan berhubung salah laku dan rasuah membabitkan ahli keluarganya.

Beliau mahu menunjukkan bukti kepada Razali, tetapi ahli Majlis Tertinggi Umno itu menolak dan menyarankan beliau menyerahkan dokumen itu kepada SPRM.

Ia selepas ikrar Azwan yang bertekad menjatuhkan kerajaan Selangor pimpinan Azmin.

Mengulas lanjut, Azwan berkata, beliau sekadar menjalankan tanggungjawabnya sebagai umat Islam untuk mencegah kemungkaran.

“Saya sebagai umat Islam, saya mencuba sedaya upaya menyempurnakan tanggungjawab saya untuk memperbetulkan situasi-situasi yang semakin mencurigakan.

“Amal makruf nahi mungkar, berdirinya saya di sini kerana berpegang teguh sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjwab demi agama, bangsa dan negara.”

Azwan ke SPRM serah bukti salah laku kerajaan Selangor pimpinan Azmin