Sebab orang bukan Melayu tidak sertai tentera

Mohd-Arshad-Raji-angkatan-tentera-malaysia-atmKUALA LUMPUR: Menyokong seruan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menetapkan sasaran 10% pengambilan orang bukan Melayu menyertai ATM setiap tahun, Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) hari ini mendedahkan sebab orang bukan Melayu tidak lagi berminat.

Presiden Patriot, Brig Jen (B) Datuk Mohd Arshad Raji dalam kenyataan berkata pertubuhan itu mahu memberikan pandangan sebenar tentang “beberapa isu yang sangat sensitif”.

Arshad berkata dari 1960-an hingga penghujung 70-an, kakitangan ATM bukan Melayu membentuk 30% daripada keseluruhan tenaga kerja. Tentera laut dan udara mempunyai peratusan yang lebih tinggi. Lama kelamaan, angka tu secara perlahan-lahan turun kepada sekitar 5% sekarang ini.

Beliau berkata antara sebab orang bukan Islam mengelak daripada sertai kerana ada pembahagian mengikut garis etnik yang jelas dalam angkatan tentera.

Oleh kerana dasar tindakan afirmatif kerajaan pada 1980-an menyerap masuk ke adalam pentadbiran tentera, Arshad berkata “kata-kata pelik seperti ‘orang kita’ telah merayap masuk ke dalam minda komander tentera.”

“Lambat tapi pasti, komander berkenaan melihat mereka di bawah jagaan mereka sebagai adik tiri atau anak tiri, bukan lagi sama seperti sebelumnya. Mereka membuatkan individu-individu berkenaan rasa tidak penting dan tidak diingini. Sebaliknya, perasaan seperti ‘orang luar’ menyebabkan ramai rasa tidak disenangi. Demikian bermula era individualistik serta sikap dan tingkah laku mementingkan dri sendiri dalam tentera.”

Walaupun ramai jeneral mudah disenangi dan peduli akan mereka yang di bawah jagaan mereka, “little Napoleons” di Kementerian Pertahanan – penjawat awam yang mempunyai kuasa – membuat dasar berkaitan dengan kenaikan dan menguatkuasakan peraturan tidak bertulis dan sistem kuota mengenai orang bukan Melayu.

“Pada penghujung 70-an dan 80-an, sebarang kenaikan untuk pegawai mengatasi pangkat Major akan dianggap politik. Bagi pegawai dan anggota tentera, politik itu ‘makhluk asing’. Terutamanya bagi pegawai bukan Melayu, ‘makhluk aneh’ itu masuk ke dalam hidup mereka dan terus menghantui mereka sejak 1980-an dan meninggalkan pengalaman pahit. Apabila mereka meninggalkan perkhidmatan pada 1990-an, tidak ramai yang akan menyanjung organisasi itu.”

Arshad berkata orang bukan Melayu tidak kisah jika pegawai-pegawai Melayu yang layak di bawah mereka diberi kenaikan, tetapi lama-kelamaan pegawai-pegawai yang “sangat tidak layak” pula yang diberi kenaikan.

“Lagi terpaksa merujuk mereka sebagai ‘sir’ dan memberi tabik kepada bekas pegawai bawahan mereka itu, yang menjadi satu lagi faktor yang melemahkan semangat.”

Beliau berkata tiada jalan untuk mengadu dan sebarang bentuk bantahan atau tentangan akan dianggap keingkaran dan suatu kesalahan bawah undang-undang tentera.

“Faham-faham sajalah, seorang pegawai yang tidak berapa baik diberi kenaikan dan kuasa kerana naungannya akan melahirkan hasil yang tidak berapa baik dan lebih rendah daripada standard yang ditetapkan. Di samping itu, ramai pegawai Melayu yang ada merit juga terjejas. Pegawai Melayu yang diberi kenaikan berdasarkan merit peroleh kesetiaan dan rasa hormat dari yang bukan Melayu.”

Presiden Patriot itu berkata sebab lain ialah tentera lama-kelamaan semakin bertumpuan agama Islam.

“Mulai penghujung 1980-an, tentera semakin bertumpuan agama dan orang bukan Melayu rasa lagi terenggang. Kehidupan di mes pegawai dan kehidupan askar jadi ditentukan oleh sensitiviti agama. Kesudahannya ia menjejaskan ‘esprit de corps’ dan kesetiakawanan dalam unit tentera pelbagai kaum.”

Arshad berkata faktor itu bukan hanya menjejaskan tentera tetapi juga polis dan pertubuhan perkhidmatan awam lain.

“Masalah yang dihadapi hari ini ialah hasil dasar dan keputusan kerajaan kita beberapa dekad lalu. Betul atau tidak, sejarah akan tentukan. Tetapi kita ada masalah semasa hari ini iaitu pegawai dan anggota yang bersara sedekad dua lalu, walaupun berkhidmat kepada raja dan negara dengan penuh bangga, tidak menggalakkan anak muda sertai tentera.

“Masalahnya endemik, sebab dan kesan peraturan ‘tidak bertulis’ dan peraturan dulu. Untuk selesaikan masalah itu, pertama sekali kita perlu mengakui masalah itu. Niatnya bukan mencari kesalahan, tetapi untuk memahami sepenuhnya rungutan dari perspektif orang bukan Melayu, dan membantu pembuat keputusan untuk kebaikan negara kita.”

Arshad berkata ahli politik juga perlu dipersalahkan kerana kenyataan yang mempertikaikan kesetiaan orang bukan Melayu.

“Patriotisme orang bukan Melayu, terutamanya orang Cina dan India, dalam tentera tidak pernah menjadi isu. Sebenarnya, sejak tahun-tahun pra-merdeka, mengharungi darurat pertama dan kedua, di awal tahun-tahun Home Guard (Pasukan Kawalan Tempatan), Super 12 (12 pegawai pelopor Rejimen Persekutuan), Rejimen Persekutuan, misi pengaman Congo, Konfrontasi, terorisme komunis bandar, perang hutan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, para pegawai dan anggota bukan Melayu berjuang dengan berani di sisi saudara Melayu seperjuangan.”

Beliau berkata banyak kejayaan pasukan keselamatan melawan Parti Komunis Malaya dan pengganas bandar sebahagian besarnya kerana banyak operasi penyamaran sulit dan berbahaya oleh Cawangan Khas dan perisikan tentera, yang ramainya berketurunan Cina.

Beliau berkata pertubuhannya akan berterusan mengalak lebih ramai orang bukan Melayu sertai ATM.

Patriot ialah kumpulan pegawai tentera dan polis bersara yang tak berpihak dan berbilang kaum dengan matlamat untuk melihat negara yang lebih harmoni dan bersatu padu di mana setiap orang rasa dihargai dan mahu menyumbang.