Isu Baitulmaqdis: Trump ancam tarik balik bantuan kewangan negara sokong PBB

trump

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu mengancam untuk menarik balik bantuan kewangan daripada negara yang menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menolak pengiktirafan AS dalam isu Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel, lapor agensi berita China Xinhua.

“Mereka mengambil beratus-ratus juta dolar, bahkan berbilion dolar, dan mereka mengundi menentang kami,” kata Trump kepada pemberita pada mesyuarat kabinet di White House.

“Kita sedang memerhatikan undi-undi tersebut. Biarkan mereka mengundi menentang kita. Kita akan menjimatkan wang yang begitu banyak. Kita tidak peduli,” katanya.

Kenyataan Trump dibuat selepas Duta AS ke PBB, Nikki Haley, menerusi akaun Twitter beliau menyatakan: “AS akan mengambil nama” mereka yang mengkritik pilihan AS di Perhimpunan Agung PBB.

Perhimpunan Agung PBB akan mengadakan sesi mesyuarat tergempar yang jarang dilakukan bagi membincangkan status Baitulmaqdis pada Khamis selepas AS menggunakan kuasa vetonya terhadap gesaan awal yang digubal oleh Mesir agar Washington menarik balik keputusannya mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

AS pada Isnin menggunakan kuasa vetonya terhadap satu draf resolusi Majlis Keselamatan berhubung status Baitulmaqdis.

Semua 14 ahli Majlis Keselamatan mengundi untuk menyokong teks draf yang digubal oleh Mesir itu.

Bagaimanapun, memandangkan AS, yang merupakan ahli tetap Majlis Keselamatan, mempunyai kuasa veto, resolusi itu tidak dapat diterima pakai.

Sebelum undian, Duta Mesir ke PBB, Amr Abdellatif Aboulatta menjelaskan draf resolusi itu bertujuan memastikan sebarang percubaan untuk mengubah ciri-ciri atau komposisi demografik Kota Lama Baitulmaqdis tidak mempunyai kesan, batal serta tidak sah dan hendaklah dimansuhkan.

Draf resolusi itu turut menggesa semua pihak tidak mewujudkan misi diplomatik di Baitulmaqdis, katanya.

Menurut sumber PBB, Duta Palestin Riyad Mansour berkata negaranya berharap Perhimpunan Agung tersebut akan merangka satu resolusi bagi menggesa penarikan balik langkah AS itu.

Pada 6 Disember, Trump mengisytiharkan AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel dan akan memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, yang mencetuskan kemarahan besar-besaran dalam kalangan dunia Arab dan Islam.

Majlis Keselamatan PBB pertimbang draf resolusi isu Bailtumaqdis