Kerajaan mahu bincang kod etika lindungi guru dengan NUTP

Mahdzir-KhalidKUALA NERANG: Kementerian Pendidikan menyambut baik cadangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) memperkenalkan Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga bagi melindungi guru.

Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan NUTP dan Persatuan Guru-guru Malaysia awal tahun depan bagi membincangkan cadangan itu.

“Buat masa ini, cadangan itu belum sampai ke peringkat kementerian, namun kita sentiasa menyambut baik sebarang cadangan dan idea untuk menambah baik permuafakatan antara ibu bapa dan guru.

“Banyak sekolah yang menitik berat soal permuafakatan ini, jadi kod etika ini mungkin dapat mempertingkat permuafakatan di bawah Sarana Ibu Bapa yang ada dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia,” katanya selepas menutup Program Lestari Modal Insan Koperasi 2017 hari ini.

Sebelum ini, NUTP mendesak Kementerian Pendidikan memperkenalkan Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga secepat mungkin bagi melindungi guru selepas Azizan Manap atau lebih dikenali sebagai Cikgu Azizan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan mencederakan seorang murid.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata, tidak timbul isu Kementerian Pendidikan tidak menyokong pembelaan Cikgu Azizan kerana pihaknya berusaha membantu sebelum kes itu dibawa ke mahkamah lagi.

“Bukan tidak masuk campur kerana semua hal yang berkaitan kebajikan guru, kita dahulukan dan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon juga telah berjumpa Cikgu Azizan.

“Kita (kementerian) masih memberi sokongan kepada guru berkenaan apabila beliau didakwa, namun tidak boleh campur tangan apabila sudah menjadi kes mahkamah,” katanya.

Menurutnya, Cikgu Azizan, 44, yang merupakan guru penolong kanan hal ehwal murid di Sekolah Rendah Taman Semarak, Nilai kekal sebagai guru di sekolah terbabit.

Selasa lalu, Mahkamah Majistret Seramban melepas tanpa membebaskan Azizan atas pertuduhan mencederakan muridnya pada Oktober lepas.

 

http://www.freemalaysiatoday.com/category/highlight/2017/12/19/mahkamah-lepaskan-cikgu-azizan/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/12/21/badan-guru-gesa-kod-etika-kawal-interaksi-ibu-bapa-di-sekolah/