
Penganalisis risiko politik Asia Tenggara, Alexander Macleod berkata walaupun IS tidak mungkin menyerang Malaysia dalam masa terdekat, pihak berkuasa counter-terrorism akan sentiasa sibuk mengawasi ancaman daripada pengganas perseorangan dan perekrutan secara atas talian.
“Langkah-langkah telah diambil untuk mencengkam rangkaian biayaan pengganas agar mereka kebulur sehingga menyerah, menerusi penutupan saluran kiriman wang tidak rasmi, walaupun risiko daripada pengubahan wang haram masih wujud,” kata Macleod dalam laporan diterbitkan Global Risk Insights, sebuah syarikat risikan.
“Lebih banyak perlu dilakukan di media sosial kerana ia berterusan menjejaskan usaha risikan pusat.
“Walaupun pihak berkuasa berjaya menamatkan sejumlah laman web pro-IS, perekrutan digital menerusi Twitter dan WhatsApp kekal menjadi satu ancaman besar.”
Menurutnya, pihak berkuasa seluruh dunia berdepan kesulitan disebabkan WhatsApp menjamin kerahsiaan mesejnya.
Bagaimanapun, Macleod berkata pihak berkuasa Malaysia patut dipuji atas usaha melawan keganasan yang berterusan walaupun titik masuk tertentu perlukan pengawasan lebih ketat.
“Pegawai keselamatan Malaysia tidak akan mudah berpuas hati,” katanya.
“Berserta Indonesia dan Filipina, Malaysia sudah pun melakukan usaha berterusan untuk meningkatkan keselamatan sempadan di rantau Sulu yang mudah dibolos, yang mana sudah lama menjadi kelemahan Malaysia.
“Kawasan sempadan lain perlu kawalan keselamatan ketat, seperti Sungai Golok yang mengasingkan daerah selatan Thailand iaitu Narathiwar dari Kelantan.
“Dahulu, kawasan ini pernah dieksploit oleh kumpulan penyokong IS yang menyeludup senjata.”
Nadi IS kehilangan “pemerintahan khalifah” di Iraq dan Syria ekoran serangan daripada gabungan tentera.
Ia menyebabkan pejuang asingnya berpecah, memaksa mereka pulang atau menuju ke negara lain di mana IS masih berjuang.
Macleod berkata, secara umumnya, terdapat kemungkinan besar pejuang yang pulang akan ditangkap dan ditahan bawah undang-undang berkenaan, kerana lebih 260 pejuang telah dikenakan tindakan sedemikian sejak 2013.
Tetapi beliau percaya majoriti pejuang Malaysia tidak akan pulang ke tanah air.
“Pihak polis Unit Cawangan Khas Counter-Terrorism menjejak suspek keganasan secara terperinci dan sedang bekerjasama dengan agensi rantau dan global lain,” kata Macleod.
“Dengan situasi sedemikian, pejuang Malaysia mungkin tidak pulang ke tanah air dalam jumlah yang banyak.
“Kebanyakannya akan terus berada di sana dan terus berjuang, atau ke negara lain yang masih bergelut dengan pemberontakan Islam, seperti di Myanmar atau Thailand.
“Tidak seperti Malaysia, banyak lagi tempat lain yang akan menyediakan tempat berlindung untuk pejuang-pejuang ini.”