NGO Rohingya gesa PBB siasat cubaan tutup kes kubur di Wang Kelian

Zafar-Ahmad-Abdul-Ghani-un-wang-kelian-1

PETALING JAYA: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Rohingya di Malaysia menggesa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyiasat cubaan menutup penemuan kem penyeksaan dan kubur beramai-ramai milik pendatang asing di Wang Kelian, Perlis, pada 2015.

Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar di Malaysia, Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata, PBB dan badan antarabangsa lain harus menyiasat kenapa pihak berkuasa Malaysia menunggu beberapa bulan untuk mendedahkan penemuan itu.

Beliau merujuk laporan New Straits Times (NST) semalam yang mendakwa polis tahu mengenai kubur beramai-ramai di kawasan hutan di sempadan Thailand-Malaysia itu seawal Januari 2015.

Bagaimanapun, sidang media hanya diadakan pada awal Mei tahun itu, di mana ketua polis negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan penemuan 139 kubur di 28 kem haram yang dipercayai digunakan sindiket pemerdagangan manusia di sebuah bandar bersempadan dengan Thailand.

Menurut NST, pelbagai laporan dengan sengaja dicantas dan hasil temubual dengan pelbagai sumber mendapati banyak perkara disorokkan dalam siasatan rasmi.

Kubur itu dipercayai milik warga asing yang kebanyakannya dari Myanmar.

Zafar berkata, perkara itu cukup serius untuk disiasat badan antarabangsa, bukan sahaja kelewatan pengumumannya, tetapi juga isu pemerdagangan manusia melibatkan etnik Rohingya.

Beliau berkata, siasatan itu perlu melibatkan 4 negara, iaitu Myanmar yang menjadi sumber pemerdagangan manusia; Bangladesh yang menjadi perantara penyeludupan manusia menggunakan bot; Thailand dan Malaysia yang menjadi destinasi mangsa diseludup, diseksa dan dibunuh.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika mengulas laporan NST berkata, pihak berkuasa Malaysia akan menyiasat perkara itu dengan teliti, tetapi menurut Zafar, siasatan tempatan tidak akan sampai ke punca masalah pemerdagangan manusia dari Myanmar.

“Siasatan itu perlu dilakukan dengan bantuan badan antarabangsa kerana ia melibatkan 3 negara lain,” katanya.

Pada Mei 2015, media dimaklumkan terdapat lebih 130 kubur di 28 kem sementara dijumpai di Wang Kelian. Penemuan itu menyusul penemuan serupa di Thailand yang mendorong polis negara itu melancarkan serangan terhadap rangkaian pemerdagangan manusia.

Semalam, kumpulan peguam hak asasi Lawyers for Liberty, yang membandingkan respons Malaysia dengan tindakan Thailand menyabitkan lebih 62 individu atas penemuan kubur serupa di negara itu, menggesa Putrajaya menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI).

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/12/20/bukti-dimusnahkan-fakta-diubah-dalam-tragedi-kubur-beramai-ramai-perlis-lapor-nst/