
“Kerajaan adalah penganjur utama tetapi ia adalah acara tidak melibatkan mana-mana parti. Ya, PKR sudah dijemput dan hanya akan melibatkan diri dalam forum.
“Saya hanya akan terlibat dalam forum sebagai panelis mewakili PKR, yang mana ia akan diadakan pada jam 11.30 pagi sebelum masuk waktu solat Jumaat,” katanya kepada FMT malam tadi.
Beliau mengesahkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini yang berkata acara esok akan disertai pemimpin dari gabungan pembangkang.
Zahid berkata demikian selepas Naib Presiden Amanah, Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata, partinya mungkin tidak menyertai himpunan esok, yang merupakan tunjuk perasaan isu Palestin yang ke-3 selepas himpunan anjuran Umno pada 7 Disember dan Pakatan Harapan pada 15 Disember.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil memaklumkan partinya akan menghantar Saifuddin kerana acara esok membabitkan isu keadilan sejagat, hak asasi manusia dan kestabilan politik Timur Tengah.
Selasa lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempelawa rakyat berbilang kaum, NGO serta pemimpin parti pembangkang menyertai himpunan itu.
Ia bagi menunjukkan solidariti kepada Palestin ekoran tindakan Washington mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Himpunan itu akan menyaksikan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang digandingkan di atas pentas sama untuk memperkatakan isu umat Islam.
Sebelum ini kedua-dua mereka digandingkan dalam himpunan mengenai nasib etnik Rohingya di Myanmar.
Zahid: Pemimpin PH akan hadir himpunan pertahan Baitulmaqdis esok