Zahid: Pemimpin PH akan hadir himpunan pertahan Baitulmaqdis esok

Zahid: Pemimpin PH akan hadir himpunan pertahan Baitulmaqdis esok

Timbalan perdana menteri mengesahkan parkara itu meskipun Amanah bertegas tidak mahu menyertai perhimpunan yang akan turut dihadiri Najib dan Presiden PAS, Hadi Awang.

zahhid_jesulam
Zahid bercakap pada sidang media selepas merasmi dan melawat kilang Datasonik Group Berhad yang membekalkan pasport hari ini.
PETALING JAYA:
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemimpin Pakatan Harapan (PH) bersetuju menyertai perhimpunan mempertahankan Baitulmaqdis di Masjid Putra, Jumaat ini.

Timbalan perdana menteri mengesahkan parkara itu meskipun Amanah yang merupakan parti komponen PH semalam bertegas tidak mahu menyertai perhimpunan yang akan turut dihadiri Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Ada yang mewakili Amanah, ada mewakili PKR hadir esok,” katanya selepas merasmi dan melawat kilang Datasonik Group Berhad yang membekalkan pasport hari ini.

Semalam, Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dilaporkan berkata, tunjuk perasaan itu tidak ada bezanya dengan tunjuk perasaan yang PH lakukan sebelum ini.

“Tidak ada bezanya kalau kita buat, dia (kerajaan persekutuan) buat lagi bagus, tetapi bagi kita, kita tidak akan bersama sebab kita sudah buat 2 kali dan akan buat kali ke-3 dan 4,” katanya pada program anjuran Invoke Malaysia yang disiarkan secara langsung di Facebook, semalam.

Beliau ketika dihubungi FMT juga menyuarakan kemungkinan akan menolak jemputan Zahid sebagai panelis wacana solidariti selamatkan Palestin esok dan mencadangkan Zahid mewakili kerajaan pusat mengadakan sidang khas Parlimen bagi membincangkan isu Palestin dan mengutuk tindakan Washington.

Mengulas lanjut, Zahid berkata, pihaknya sudah mempunyai wakil baharu dari Amanah yang akan menggantikan Mujahid sebagai panelis wacana itu.

“Kita dah ada ganti dia (Mujahid) daripada parti dia yang sama.

“Biar (mereka) gaduh sama sendiri,” katanya merujuk perbezaan pandangan pemimpin PH berhubung perhimpunan itu.

Dalam perkembangan lain, Zahid menyindir PH berhubung status pendaftaran gabungan 4 parti pembangkang itu, susulan perbezaan pendangan pembangkang berhubung kahadiran himpunan esok.

“Pakatan Harapan itu siapa? Siapa ahli-ahlinya? Pakatan Harapan itu dah daftar ke belum?” soalnya.

Selasa lalu, Zahid mempelawa rakyat berbilang kaum, NGO serta pemimpin parti pembangkang menyertai tunjuk perasaan itu bagi menunjukkan solidariti kepada Palestin ekoran tindakan Washington mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Bahkan, Najib bersama Hadi, NGO Islam dan bukan Islam akan turut serta dalam perhimpunan yang dijangka dihadiri 10,000 orang itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.