PAS 100% yakin adun, pimpinan Selangor tidak akan sertai PKR

Iskandar-Abdul-Samad_pas_pkr_600

PETALING JAYA: PAS yakin dengan kesetiaan semua wakil rakyat dan pemimpinnya di Selangor yang tidak mudah melatah, apatah lagi melompat ke parti lain termasuk PKR, kata Datuk Iskandar Abdul Samad.

Naib presiden PAS itu berkata, dakwaan ada pemimpin dan adun PAS Selangor akan menyertai PKR sekadar khabar angin yang sengaja digembar-gemburkan pihak lawan terdesak untuk mendapat sokongan rakyat negeri itu menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Saya yakin 100%, wakil rakyat serta pemimpin PAS Selangor akan setia kepada PAS. Laporan media bahawa beberapa adun serta pimpinan PAS Selangor akan menyertai PKR adalah tidak benar.

“Pada saya, ia adalah khabar angin yang sengaja dicipta untuk mengganggu persiapan PAS Selangor menghadapi pilihan raya umum yang dijangka kurang dari 3 bulan mulai sekarang.

“Ia juga bertujuan mewujudkan kegusaran di kalangan ahli-ahli agar mereka hilang tumpuan,” katanya melalui mesej WhatsApp kepada FMT hari ini.

Beliau mengulas laporan media yang memetik sumber sebagai berkata, jentera pilihan raya PKR Selangor diminta bersedia menerima gelombang kemasukan ke-2 pemimpin dan ahli PAS negeri itu, termasuk bertanding atas tiket PKR pada PRU14.

Sumber itu dilaporkan mendakwa gelombang ke-2 itu membabitkan wakil rakyat PAS Selangor yang dikatakan tidak berpuas hati dengan hala tuju parti Islam itu ketika ini yang mahu bersendirian pada PRU14.

Iskandar yang juga exco Selangor menasihatkan ahli PAS negeri itu tidak mempercayai khabar angin itu atau terperangkap dengan strategi musuh untuk melumpuhkan persiapan pilihan raya PAS.

“Musuh mahu melihat pimpinan dan ahli-ahli PAS mencurigai di antara satu sama lain,” kata bekas pesuruhjaya PAS Selangor itu.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Selangor, Khairuddin Othman turut menafikan dakwaan itu yang disifatkannya khabar angin nakal untuk mengucar-kacirkan PAS.

“Kami banyak mendengar khabar angin dari orang luar, tapi sendiri tidak ada maklumat berhubung hal tersebut,” kata adun Paya Jaras itu ketika dihubungi FMT.

Sementara itu, Mat Suhaimi Shafie yang merupakan setiausaha politik Menteri Besar Selangor merangkap Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali berkata, beliau belum mendengar mengenai perkara itu.

“Saya juga ingin mengelak daripada memberikan sebarang komen berkaitan perkara dalaman parti lain,” katanya.

Pada PRU13, gabungan pembangkang yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat berjaya mempertahankan kerajaan negeri dengan memenangi 44 daripada 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri Selangor.

PAS dan DAP masing-masing memenangi 15 kerusi, PKR 14 kerusi dan Umno 12 kerusi, sebelum terbubarnya Pakatan Rakyat pada Jun 2015 sekaligus menyaksikan 2 adun PAS melompat ke Amanah.

Bagaimanapun, PAS Selangor manjadi tumpuan pelbagai pihak tahun ini kerana memilih untuk kekal dalam kerajaan Selangor dan tidak menyertai Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan PPBM.

Ia selepas PAS menamatkan kerjasama dengan PKR secara rasmi pada Mei lalu kerana mendakwa parti itu melanggar syarat “tahaluf siyasi”, istilah yang digunakan pemimpin PAS untuk menyifatkan kerjasama politik bersama parti berlainan ideologi.