PPBM: Belia akan hukum BN kerana rumah mampu milik

Syed-Saddiq_house_rumah_600

PETALING JAYA: Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yakin kegagalan kerajaan pusat menyediakan rumah mampu milik untuk belia akan menyebabkan mereka dihukum pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Bagi menyokong dakwaan itu, beliau memetik kenyataan Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin di Dewan Rakyat bulan lalu mengenai Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) diiklankan sebagai “mampu milik”, tetapi harganya terlalu mahal.

“Seorang ahli Parlimen Umno bercakap di Dewan Rakyat baru-baru ini yang program perumahan mampu milik di bawah PR1MA sebenarnya tidak mampu dimiliki.

“Ini ialah petunjuk kerajaan silap dalam fokusnya dengan membina lebih banyak rumah tidak mampu dimiliki berbanding mampu milik.

“Ada rumah PR1MA berharga lebih RM250,000. Kesannya, kerajaan mengetepikan kepentingan anak muda,” katanya.

Beliau mengakui harga hartanah semakin meningkat di negara lain juga, tetapi gaji pekerja turut bertambah.

Bagaimanapun, katanya, gaji graduan baru dan belia di Malaysia secara amnya kekal tidak berubah, sementara pekerja lain hanya menikmati kenaikan gaji sebanyak 17% beberapa tahun ini.

“Kira-kira 50% graduan dibayar kurang RM2,000. Itu tidak mencukupi untuk menghadapi kenaikan kos sara hidup.”

Katanya, bercakap mengenai perumahan, kerajaan pusat perlu mengikut model Selangor dan Pulau Pinang yang lebih mampan.

“Rumah Selangorku melibatkan tanah milik kerajaan yang bermakna kerajaan berhak memaksa pemaju membina rumah pada harga berpatutan.

“Dengan PR1MA, kerajaan terpaksa membeli tanah dan selalu pada harga lebih tinggi daripada pasaran.”

Beliau mendakwa sesetengah projek perumahan itu turut dicemari unsur rasuah dan ia mungkin faktor yang menyumbang kepada harga tinggi rumah “mampu milik”.

“Jika kamu lihat bajet alternatif Pakatan Harapan, sebaik sahaja kita menghapuskan rasuah, wang itu akan digunakan untuk membina rumah mampu milik.

“Kerajaan mempunyai wang untuk menyediakan rumah mampu milik untuk lebih ramai anak muda memiliki rumah sendiri.”

Bulan lalu, FMT memetik pakar hartanah, Ernest Cheong sebagai berkata, kesukaran belia memiliki rumah sendiri bermakna pilihan terbaik mereka ialah terus tinggal bersama ibu bapa.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/11/24/rumah-terlalu-mahal-tinggallah-bersama-keluarga/