7 pemancing hilang sejak Jumaat

sar-lemasLABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) 7 pemancing yang dikhuatiri lemas semasa memancing di perairan Labuan, sejak Jumaat lepas.

Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Muda Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, 7 pemancing dari Pulau Gaya, Kota Kinabalu itu dikatakan keluar memancing pada 3 pagi.

“Pusat Operasi Daerah Maritim 14 (DM14) Labuan menerima panggilan kira-kira 11.30 pagi tadi memaklumkan sebuah bot pancing yang disyaki karam di barat laut Labuan, disyaki akibat cuaca buruk.

“Mereka dimaklumkan lemas bersama 5 pemancing yang selamat di kedudukan 97 batu nautika dari barat laut Labuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mangsa yang selamat dikenali sebagai Sibar, 26; Musimal, 19; Ridzmal, 21; Azmer dan Algapal, masing-masing berusia 31 tahun.

Katanya, SAR diaktifkan melibatkan keluasan sektor pencarian merangkumi 25 batu nautika persegi.

“Aset APMM dari Labuan, iaitu Kapal Maritim Bistari digerakkan ke lokasi terakhir yang dilaporkan kapal pembekal tersebut meliputi jarak pelayaran lebih kurang 97 batu nautika dari barat laut Pulau Labuan atau kira-kira 117 batu nautika dari barat laut Kota Kinabalu.”