Mengarut cadang kedai mamak tutup 12 malam, bidas NGO India Muslim

Syed-Ibrahim-Kader-mamak-malaysiaKUALA LUMPUR: Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) menyifatkan cadangan mengehadkan waktu operasi kedai mamak sehingga 12 tengah malam sebagai “mengarut”.

Presidennya, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader mempersoalkan keperluan rakyat, khasnya pelajar dan peminat bola sepak yang hendak makan pada lewat malam, selain premis 24 jam seperti kedai mamak dapat membantu mengelakkan kejadian khalwat.

Mengehadkan waktu operasi restoran dan kedai makan antara langkah di bawah dasar kesihatan baharu yang akan diperkenalkan kerajaan tahun depan, lapor akhbar New Straits Times (NST).

Langkah lain yang didedahkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, termasuk mencukai minuman manis, mengecualikan duti import ke atas peralatan sukan dan pengendali gim dikecualikan cukai korporat serta melarang iklan makanan dan minuman mengandungi garam, gula dan lemak tinggi.

“Ya, kementerian berusaha membendung peningkatan penyakit tidak berjangkit, tetapi mengehadkan waktu operasi restoran mamak sehingga tengah malam tidak akan menyelesaikan masalah itu,” kata Syed Ibrahim dipetik NST.

Beliau mencadangkan Kementerian Kesihatan mendidik rakyat untuk makan secara sihat.

Katanya, walaupun orang masih boleh memasak di rumah pada tengah malam, tetapi kedai mamak sudah berkembang menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat Malaysia dan tempat berkumpul untuk peminat bola sepak serta pelajar.

“Pelajar-pelajar ini, mereka mengadakan perbincangan dan membuat tugasan di kedai mamak kerana kebanyakannya dilengkapi kemudahan wifi. Jika kedai mamak hanya boleh beroperasi sehingga tengah malam, ke mana mereka harus pergi?”

“Untuk pelajar Islam, adakah mereka akan ke rumah rakan dengan lelaki dan perempuan bercampur tanpa diawasi?” soalnya yang dipetik Malay Mail sambil berkata, ia mungkin membawa kepada khalwat dan ditangkap pihak berkuasa agama Islam.

Katanya, tarikan Malaysia sebagai destinasi makanan global mungkin terjejas jika dasar itu dilaksanakan.

“Kita terkenal dengan makanan kita di seluruh dunia. Pelancong ke sini dan tertarik melihat makanan boleh didapati 24 jam sehari, 7 hari seminggu. Sudahkah mereka fikir bagaimana ini akan menjejaskan industri pelancongan?” soalnya.

Malaysia mempunyai kira-kira 12,000 premis India Muslim dengan jumlah pendapatan sekitar RM10 bilion.