Shahnon Ahmad meninggal dunia

Shahnon-Ahmad-new

PETALING JAYA: Sasterawan Negara, Datuk Shahnon Ahmad meninggal dunia hari ini pada usia 84 tahun.

Penulis novel “Ranjau Sepanjang Jalan” itu pernah memenangi kerusi Sik di bawah tiket PAS pada pilihan raya umum 1999.

Shahnon menewaskan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri yang berkait hal ehwal agama, Tan Sri Abdul Hamid Othman, dengan majoriti hanya 478 undi.

Populariti beliau di sebalik novel satira politiknya, “SHIT” yang mencetuskan kontroversi beberapa tahun lalu disebabkan penggunaan istilah yang dianggap kasar dipercayai disasarkan terhadap pemimpin politik tertentu.

Novel itu merupakan antara buku terlaris di pasaran ketika ia diterbitkan di kemuncak kemelut politik susulan pergerakan reformasi yang dicetuskan oleh pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.

Sebelum novel tersebut, Shahnon terkenal dengan karyanya seperti Rentong (1965), Menteri (1967), Perdana (1969), Srengenge (1973), di samping pelbagai antalogi dan cerpen.

Karyanya Ranjau Sepanjang Jalan merupakan bacaan wajib aliran sastera Tingkatan 6, dan turut dijadikan sebuah filem pada 1983 dibintangi Sarimah Ahmad dan Datuk Ahmad Mahmood.

Shahnon bagaimanapun dikatakan kecewa dengan PAS, selepas berkhidmat selama sepenggal mewakili parti Islam itu.

Pada 2006, beliau menerbitkan kisah hidupnya, “Perjalananku Sejauh Ini: Satu Autobiografi”.