Tolak bahas Rohingya di Parlimen ada kaitan Wang Kelian, soal Amanah

raja-bahrin_wang-kelian_600

PETAING JAYA: Seorang wakil rakyat Amanah mempersoalkan sama ada usulnya sebelum ini untuk membahaskan mengenai pelarian Rohingya tahun lalu ditolak speaker ada kaitan dengan kes kubur beramai-ramai di Wang Kelian, seperti didedahkan baru-baru ini oleh sebuah akhbar pro-kerajaan.

“Adakah penolakan bahas isu pelarian Rohingya dari Myanmar di Parlimen tahun lepas ada kaitan kerana khuathir terbongkar rahsia pembunuhan beramai-ramai di Wang Kelian?” soal Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Bahrin Shah.

“Rakyat ingin tahu adakah kedua-dua isu ini ada kaitan yang pihak berkuasa bimbang akan terbongkar?” soalnya.

Minggu lalu, New Straits Times (NST) mendakwa polis sudah tahu mengenai kubur beramai-ramai di kawasan hutan sempadan Thailand-Malaysia itu seawal Januari 2015, tetapi polis hanya mengumumkan penemuan itu pada 25 Mei tahun sama.

Akhbar itu melalui siasatan 2 tahun turut mendakwa kawasan terbabit dibersihkan sehingga membinasakan pelbagai bukti jenayah, selain pelbagai laporan sengaja dicantas, dan hasil temubual dengan pelbagai sumber mendapati banyak perkara disorokkan dalam siasatan rasmi.

Kubur itu menemukan 139 mayat warga asing, dipercayai mangsa pemerdagangan manusia yang turut melibatkan pelarian Rohingya yang mendapatkan khidmat orang tengah bagi meloloskan diri ke Malaysia.

Pada 24 November 2016, Speaker Dewan Rakyat menolak usul dikemukakan Raja Bahrin untuk membahaskan isu pembunuhan etnik Islam Rohingya di Myanmar dengan alasan ia mencampuri urusan negara lain.

Kurang 2 minggu kemudian, pemimpin tertinggi Umno dan PAS, termasuk Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkongsi pentas dalam program menyatakan sokongan kepada Rohingya, sambil mengutuk kerajaan Myanmar.

Raja Bahrin berkata himpunan sebegitu tidak membawa makna sekiranya pihak berkuasa tidak serius menangani pemerdagangan manusia yang menurut NST sudah pun mula bertapak semula di sempadan.

“Apa ertinya perhimpunan besar-besaran untuk Rohingya di Stadium Mini Titiwangsa dan pelancaran flotila oleh Umno dan PAS jika perdagangan dan pembunuhan orang Myanmar-Rohingya berlaku di sempadan Malaysia tanpa pembelaan?” soalnya.

Beliau mengulangi gesaan pelbagai pihak supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan menyiasat jenayah di Wang Kelian.

“Kami juga menuntut sidang khas Parlimen bagi membahas masalah pelarian kaum Rohingya dan masalah pemerdagangan manusia di Malaysia. Ini mesti di adakan dengan segera bagi membersihkan nama Malaysia didalam kedua-dua isu tersebut,” katanya.

Minggu lalu, kumpulan peguam hak asasi Lawyers for Liberty berkata laporan NST itu tidak mengejutkan, dan berkata Malaysia tidak menyiasat kes itu dengan baik berbanding Thailand yang sudah mendakwa dan mensabitkan 62 orang termasuk pegawai kanan tentera.

“Laporan itu mengesahkan dakwaan gerakan sivil selama ini, iaitu kerajaan tidak bersungguh membanteras pemerdagangan manusia dan sekadar bercakap kosong dan tidak berusaha mencapai kedudukan hak asasi manusia yang lebih baik,” kata Pengarah Eksekutif Eric Paulsen.

Sebuah kumpulan mewakili etnik Rohingya di Malaysia pula menggesa campur tangan PBB dalam siasatan.

Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar di Malaysia berkata, badan antarabangsa juga harus menyiasat kenapa pihak berkuasa Malaysia menunggu beberapa bulan untuk mendedahkan penemuan itu, seperti didakwa NST.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/12/20/bukti-dimusnahkan-fakta-diubah-dalam-tragedi-kubur-beramai-ramai-perlis-lapor-nst/