Banduan dadah dipenjara 3 bulan lagi kerana curi susu

steal-milkKAJANG: Seorang banduan yang sedang menjalani hukuman penjara bagi kesalahan dadah, hari ini dijatuhi hukuman penjara 3 bulan oleh Mahkamah Majistret bagi kesalahan mencuri 10 tin susu formula bernilai RM839.

Majistret Nor Afidah Idris menjatuhkan hukuman itu ke atas Fauzan Abdul Rahim, 21, selepas dia mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di sebuah kedai di Cheras pada 1.25 tengah hari, 12 September 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharih Afendi memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran.