Kes bunuh di stesen minyak: Reman lelaki dilanjut

Kes bunuh di stesen minyak: Reman lelaki dilanjut

Lanjutan reman kepada temph 7 hari sehingga 4 Januari dibenarkan selepas dipohon pegawai penyiasat kes berkenaan.

petrol-station-murder
JOHOR BAHRU: Mahkamah Majistret hari ini membenarkan permohonan polis melanjutkan reman seorang lelaki bagi membantu siasatan kes bunuh di stesen minyak Taman Pelangi, 17 Disember lepas.

Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias membenarkan tempoh reman lelaki itu dilanjut selama 7 hari sehingga 4 Januari ini selepas dipohon pegawai penyiasat kes berkenaan.

Lelaki berumur 22 tahun itu antara 7 individu yang ditahan di Singapura pada 20 Dis lepas sebelum mereka direman seminggu berakhir hari ini.

Bagaimanapun, 6 yang lain serta seorang lagi suspek ditahan pada 21 Disember lepas dan direman bersama-sama, dibebaskan hari ini selepas siasatan terhadap mereka selesai.

Difahamkan, lelaki yang disambung reman itu dipercayai individu yang mempunyai maklumat mengenai suspek utama kejadian berikutan ada keterangan saksi menunjukkan dia bertemu dengan suspek utama kes pembunuhan itu sebelum kejadian itu berlaku.

Pada 17 Disember lepas, seorang lelaki diserang sekumpulan empat lelaki menaiki kereta BMW 520D sebelum mati ditikam, dilanggar dan digilis dengan kenderaan itu dalam kejadian 7.30 malam itu.

Susulan kejadian itu, polis Johor menahan 15 individu melibatkan 11 lelaki dan 4 wanita secara berasingan di Pulau Pinang, Johor Bahru dan Singapura bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam, polis mengesahkan sudah menemukan kereta BMW 520D dipercayai terlibat dalam kejadian bunuh itu di kebun kelapa sawit di Ayer Balai, Pontian, dan usaha digiatkan bagi memburu 3 suspek utama dipercayai masih berada di negara ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.