
Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Idris Jausi berkata tiada yang mustahil untuk mengulangi kejutan ketika menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Puad Zarkashi pada PRU ke-13.
Beliau juga yakin akan dicalonkan sekali lagi mempertahankan kerusinya.
PKR melalui Idris mengalahkan Puad, ketika itu timbalan menteri pelajaran, dengan memperoleh 38,667 undi, dengan majoriti kira-kira 1,700 undi.
Pada 2008, Puad menewaskan calon PAS, Muhammad Abdullah dengan majoriti sebanyak 12,704 undi.
Bercakap kepada FMT, Idris yakin sokongan Melayu akan kekal kepadanya.
“Kalau lihat dari segi itu sokongan Melayu tidak banyak berubah. Saya sudah 4 tahun nak masuk tahun ke-5, kebanyakan orang kampung dan pengundi di Batu Pahat banyak berubah,” katanya yang berkata pengundi “tidak semestinya sokong Umno” dalam pelbagai isu mutakhir ini.
Idris yang juga naib pengerusi PKR Johor berkata tindakan PAS untuk tidak bersama dalam Pakatan Harapan (PH) tidak akan memberi kesan kepada sokongan pengundi kepada PH di Batu Pahat.
Menurutnya, faktor pegundi Melayu yang menyokong PPBM dan Amanah dapat mengimbangi sokongan sekiranya pegundi PAS tidak menyokongnya pada PRU akan datang.
Idris berkata pegundi yang ditemuinya tidak yakin perubahan boleh dilakukan menerusi PAS, sebaliknya berkata parti itu mempunyai imej “kacau daun”.
“Rakyat sekarang bukan seperti rakyat 70-an. Rakyat sekarang faham mainan politik tentang macam mana PAS bertanding hanya untuk beri kemenangan pada Umno.”
Idris berkata cukai barangan dan perkhidmatan (GST), kenaikan harga barang, harga petrol dan kemerosotan nilai ringgit merupakan antara sebab pengundi lebih cenderung menolak Umno.
“Kalau kumpul semua ini, saya optimis PKR, PH boleh pertahan kerusi itu,” katanya.
Idris berkata pegundi bukan Melayu khususnya pegundi Cina tidak banyak berubah dalam sokongan mereka, walaupun mengakui sokongan bukan Melayu mungkin merosok “sedikit”.