Ramlee dakwa Warisan putar belit fakta statistik bajet

Ramlee-Marahaban-Shafie-Apdal1

KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Ramlee Marahaban menyifatkan tindakan Parti Warisan Sabah “memutar belit fakta” mengenai bajet dan pendapatan negeri itu sebagai tidak bertanggungjawab.

Beliau mendakwa ia cubaan memperdaya rakyat hanya untuk meraih sokongan politik.

Katanya, jelas dakwaan Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal kononnya bajet Sabah kekal tidak berubah sejak 40 tahun lalu pada RM4 bilion, salah dan boleh dibuktikan dengan rekod Jabatan Arkib menteri kewangan Sabah.

“Membandingkan keadaan ekonomi pada 1976 hingga 1978 dan sekarang tidak sesuai kerana sumber pendapatan berbeza. Contohnya, pada 1970-an dan 1980-an, sebahagian besar pendapatan negeri datang daripada balak, tetapi kini balak bukan lagi sumber pendapatan Sabah.

“Menurut laporan kewangan rasmi, pendapatan negeri pada 1978 sebanyak RM479,027,790 dengan geran, sumbangan dan bayaran balik persekutuan berjumlah RM45,790,248 yang menjadikan jumlah pendapatan ialah RM524,818,038 untuk tahun itu,” katanya sambil menambah satu-satunya sumber pendapatan negeri rasmi ialah laporan kewangan negeri.

Ramlee yang juga adun Bugaya mengulas kenyataan Bendahari Agung Warisan, Terrence Siambun yang bertegas Shafie tidak menipu mengenai bajet Sabah pada 1978.

Siambun dilaporkan berkata, Shafie membuat kenyataan itu berdasarkan pengesahan bekas ketua akauntan Sabah, Tan Sri Ibrahim Menudin mengenai keadaan kewangan pada 1978.

“Ibrahim ialah bekas ketua akauntan negeri dan sudah tentu tahu kerajaan negeri mempunyai berapa banyak wang pada 1978; sekarang adakah Ramlee membayangkan beliau (Ibrahim) menipu,” soal Siambun.

Ramlee berkata: “Saya percaya Shafie sengaja mahu memandang rendah pendapatan Sabah dan kemampuan kepimpinan negeri yang diketuai Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dengan berkata tiada peningkatan dalam pendapatan negeri berbanding 39 tahun lalu.

“Prestasi Sabah di bawah Musa sangat baik, di mana hasil negeri meningkat daripada RM1.24 bilion pada 2001 kepada RM1.56 bilion pada 2003, RM2.33 bilion pada 2008, RM3.69 bilion pada 2012 dan melepasi RM4-bilion, iaitu RM4.58 bilion pada 2014.”

Katanya, kerajaan negeri mengubah pendekatan menjana pendapatan kepada sektor lain dan ini menyumbang kepada peningkatan hasil negeri.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak lagi bergantung kepada pembalakan kerana dasar meningkatkan saiz hutan simpan kekal dengan sasaran sekurang-kurangnya 30% daripada jumlah keseluruhan tanah Sabah diliputi hutan simpan kekal menjelang 2025.

“Pengurusan kewangan negeri adalah telus dan teratur, jadi simpanan kewangan negeri terus berkembang dan kini berjumlah RM3.74 bilion berbanding RM184 juta pada 2003.

“Peningkatan dalam deposit kewangan negeri turut disumbangkan pengurusan kewangan berkesan yang diketuai Musa sebagai ketua menteri dan menteri kewangan negeri yang mencapai lebihan akaun selama 16 tahun berturut-turut.”