’12 pusat sehenti di UTC sedia khidmat pekerjaan kepada rakyat’

richard-utc

PUTRAJAYA: Sebanyak 12 Pusat Sehenti Perkhidmatan Pekerjaan Kebangsaan mula beroperasi di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara tahun ini bagi menyediakan perkhidmatan pekerjaan secara inklusif kepada rakyat, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Beliau berkata, pusat sehenti itu yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat JobsMalaysia, menyediakan khidmat nasihat berkaitan aspek pekerjaan dan latihan di bawah satu bumbung melalui penglibatan agensi seperti Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), Unit Peneraju Agenda Bumiputra (Teraju), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB).

“Penubuhan pusat ini di UTC merupakan satu inisiatif bersepadu kerajaan bagi menyediakan perkhidmatan pekerjaan dan latihan secara berstruktur bersesuaian keperluan semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Riot berkata, penubuhan pusat itu bertitik tolak daripada saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi Bajet 2018 yang menekankan penubuhan Pusat Sehenti Perkhidmatan Pekerjaan Kebangsaan di UTC.

Menurutnya, pusat berkenaan turut menyediakan perkhidmatan pendaftaran pencari kerja; bimbingan kerjaya; pemadanan pekerjaan; temu duga terbuka oleh majikan; pendaftaran, permohonan dan temu duga untuk penyertaan program SL1M; pendaftaran dan permohonan program Teraju; serta permohonan kemudahan latihan melalui PSMB.

Riot berkata, susulan pelaksanaan Skim Insurans Pekerjaan (SIP) berkuat kuasa tahun ini, pusat sehenti tersebut turut menyediakan perkhidmatan pendaftaran bagi kehilangan pekerjaan dan permohonan faedah kehilangan pekerjaan di bawah SIP.

Beliau berkata, Pusat Sehenti Perkhidmatan Pekerjaan Kebangsaan berkenaan beroperasi setiap hari bermula 8 pagi hingga 10 malam.

Menurut Riot, sehingga 30 November 2017, seramai 183,433 pencari kerja terutamanya golongan belia berjaya ditempatkan JobsMalaysia dalam pelbagai kategori pekerjaan.

Katanya, bilangan itu dijangka terus meningkat setiap tahun dengan terbentuknya rangkaian kerjasama aktif melalui penubuhan Pusat Sehenti Perkhidmatan Pekerjaan Kebangsaan di UTC, selain peranan pengusaha agensi pekerjaan swasta berlesen di negara ini.