Kereta Rolls Royce disita dalam operasi JPJ

roll-royce

KUALA LUMPUR: Sebuah kereta mewah Rolls Royce dipercayai didaftarkan di bawah syarikat D’herbs Holding Sdn Bhd merupakan antara 20 kenderaan disita dalam Op Patuh yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Bangsar, malam tadi.

Kenderaan itu ditahan kerana memiliki Lesen Kenderaan Motor (LKM) (cukai jalan) Sarawak. Adalah menjadi kesalahan menggunakan kenderaan yang memiliki LKM Sarawak atau Sabah, di Semenanjung.

Dalam operasi yang bermula kira-kira 8.30 malam itu, kereta mewah berkenaan disewa seorang lelaki warganegara Australia sebelum disita.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, kenderaan itu menggunakan LKM Sarawak dengan bayaran kira-kira RM5,000 berbanding kira-kira RM20,000 di Semenanjung, katanya kepada pemberita selepas Ops Patuh di sini.

Mengulas operasi yang dijalankan di ibu negara, Wan Ahmad Uzir berkata, operasi berkenaan turut melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dengan kekuatan 170 anggota.

Dalam pada itu, seramai 65 warga asing dari pelbagai negara termasuk Indonesia, Pakistan dan Australia ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta tinggal lebih masa.