Imigresen: Lebih 700 majikan mohon amah atas talian

mustafar-ali

PUTRAJAYA: Seramai 702 majikan mendaftar masuk permohonan menggajikan pembantu rumah asing (PRA) melalui Sistem Maid Online (SMO) yang memulakan operasinya semalam, kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

Beliau berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada 25,719 pelawat laman web SMO melalui capaian http://maid-online.imi.gov.my/maid/main sehingga 12 tengah hari ini.

Menurutnya, terdapat juga majikan yang tidak dapat menyelesaikan proses pendaftaran kerana perlu melengkapkan syarat permohonan PRA mereka.

“Setakat ini, laman web ini dapat diakses dengan mudah dan pelawat laman web oleh membuat penelitian terlebih dahulu, memahami syarat-syarat serta prosedur permohonan pembantu rumah, mendapat maklumat asas dan terperinci sebelum memulakan proses pendaftaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

SMO disediakan Jabatan Imigresen berikutan pengumumam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa pengumuman Bajet 2018 tentang kemudahan memohon pembantu rumah asing secara atas talian tanpa perlu melalui ejen bermula semalam.

Sepanjang tempoh SMO beroperasi, Mustafar berkata, pihaknya dapat mengesan beberapa ralat dalam langkah pendaftaran semasa majikan mula memasukkan data pendaftaran, dan penambahbaikan serta-merta dilakukan bagi memastikan perjalanan pendaftaran dan operasi SMO berjalan lancar.

Katanya, SMO itu disediakan untuk kemudahan majikan yang ingin memohon pembantu rumah asing dengan cepat, tepat dan jimat tanpa melalui ejen dan majikan yang tidak mahu menggunakan sistem ini, mereka masih boleh mendapatkan khidmat agensi PRA berdaftar.

Beliau turut mengingatkan majikan membuat persediaan sepatutnya dan menyediakan dokumen lengkap sebelum memulakan proses pendaftaran PRA melalui SMO bagi memastikan proses pendaftaran berjalan lancar.

Mustafar baru-baru ini dilaporkan berkata, proses penggajian PRA dalam talian melalui SMO akan mengambil masa seawal 8 hari sahaja.

Imigresen: Amah haram boleh jadi sah, tetapi ada syarat