Lesen urut di Korea Selatan hanya untuk golongan buta

Lesen-urut-di-Korea-Selatan-hanya-untuk-golongan-butaSEOUL: Keputusan Mahkamah Perlembagaan Korea Selatan memberikan lesen urut hanya kepada golongan cacat penglihatan tidak bercanggah dengan undang-undang tertinggi negara itu kerana ia hampir satu-satunya pekerjaan yang boleh mereka peroleh, lapor agensi berita Yonhap.

Keputusan itu adalah yang ke-4 bagi mahkamah berkenaan dalam menolak rayuan untuk mencabar undang-undang perubatan membenarkan hanya golongan cacat penglihatan memperoleh lesen urut dan membuka kedai urut, selain memperuntuk hukuman maksimum penjara 5 tahun atau denda 50 juta won (RM190,407) kepada mereka yang melanggarnya.

Dalam kes terbaru, seorang pemilik kedai urut memfailkan petisyen itu selepas didakwa menawarkan perkhidmatan urut tanpa lesen pada 2015, dengan hujah mengatakan undang-undang sedia ada mencabuli hak kebebasan pekerjaan bagi golongan bukan cacat penglihatan.

Bagaimanapun, Mahkamah Perlembagaan menolak tuntutan itu.

“Perniagaan urut hampir satu-satunya pekerjaan yang boleh dinikmati oleh golongan cacat penglihatan,” kata mahkamah itu dalam penghakimannya sambil menambah, sistem sedia ada “merupakan satu pilihan yang tidak dapat dielak bagi menjamin hak golongan cacat penglihatan untuk meneruskan kelangsungan hidup.”

Mahkamah itu juga berkata golongan bukan cacat penglihatan perlu terus dilarang daripada membuka kedai urut kerana langkah tersebut boleh menyebabkan golongan cacat penglihatan bekerja dalam situasi teruk.

Ia turut memutuskan untuk menghukum perniagaan urut tidak berlesen tidak boleh dianggap sebagai tindakan yang berlebihan.