Lima sungai di 4 negeri di tahap bahaya

sg-tembelingKUALA LUMPUR: Paras air di beberapa sungai utama di Pahang, Terengganu, Kelantan dan Johor berada di tahap bahaya setakat pukul 4.00 petang tadi, menurut Pusat Kawalan Bencana Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Nadma dalam satu kenyataan berkata sungai yang mencatatkan tahap bahaya adalah Sungai Dungun di Kuala Jengai, Terengganu; Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Jerantut; dan Sungai Lepar serta Sungai Belat di Kuantan, Pahang.

Di Johor pula hanya Sungai Lenik di Segamat yang mencatatkan bacaan pada tahap bahaya, manakala di Terengganu pula Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja dan Sungai Tebak di Jam Tebak, Kemaman; selain di Pahang melibatkan Sungai Kuantan di Pasir Kemudi dan Sungai Pahang di Sungai Yap, Jerantut berada di tahap amaran.

“Sungai-sungai lain seperti di Terengganu iaitu Sungai Dungun di Jambatan Jerangau, Sungai Berang di Kampung Menerong, Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih dan Sungai Nerus di Kampung Langkap berada pada tahap waspada,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, beberapa sungai di Kelantan iaitu Sungai Galas di Dabong dan Limau Kasturi; Sungai Kelantan di Kuala Krai dan Tanah Merah; serta Sungai Lebir di Tualang juga mencatatkan bacaan pada tahap amaran.

“Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Lebir di Kuala Koh diletakkan di tahap waspada,” katanya.

Paras bahaya adalah apabila air sungai mula melimpah dan boleh menyebabkan banjir manakala paras amaran pula adalah paras air sungai mula menghampiri paras banjir.

Bagi paras waspada pula, paras air sungai mula meningkat dari paras normal.