Anwar yang bentang pindaan yang dicabarnya, kata penganalisis

Kamarul-Zaman-YusoffPETALING JAYA: Penganalisis politik Kamarul Zaman Yusoff berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 1994, iaitu pindaan yang membolehkan sesuatu RUU menjadi undang-undang walaupun tanpa persetujuan Yang di-Pertuan Agong.

Kamarul berkata Anwar selepas membentangkan RUU itu pada 9 Mei 1994 sekeras-kerasnya mempertahankannya selepas dicabar oleh Ahli Parlimen Kok Lanas, Sukri Mohamed dari Semangat 46 di Dewan Rakyat keesokannya.

“Lebih melucukan lagi adalah hakikat bahawa tuntutan Anwar ini dibuat dengan menggunakan hujah yang digunakan oleh Sukri yang beliau sendiri bantai habis-habisan pada waktu itu,” kata Kamarul di Harakahdaily hari ini.

Beliau mengulas tindakan Anwar memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan semalam supaya Seksyen 8 Akta Perlembagaan (Pindaan) 1994, Seksyen 12 Akta Perlembagaan (Pindaan) 1983 dan Seksyen 2 Akta Perlembagaan (Pindaan) 1984 diisytiharkan tidak sah, bagi mengembalikan kuasa Agong.

Anwar berbuat demikian dalam usaha mencabar Akta Keselamatan Negara 2016. RUU Majlis Keselamatan Negara diluluskan Dewan Rakyat selepas bacaan ke-3 pada Disember 2015 dan Majlis Raja-raja pernah meminta beberapa peruntukan dalam rang undang-undang itu diperhalusi, namun ia diwartakan tanpa mendapat perkenan Agong.

Kamarul hari ini memetik ucapan Anwar pada Mei 1994, di mana Anwar dirakamkan sebagai berkata Fasal 8 RUU itu mahu meminda Perkara 66 Perlembagaan untuk menggantikan Fasal (4) dan (4A).

Peruntukan asal Fasal (4) dan (4A) menetapkan Agong boleh mengembalikan sesuatu RUU untuk ditimbang semula oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Fasal yang menjadi ganti itu pula memperuntukkan Agong hendaklah mengizinkan RUU itu, dan jika tidak diizinkan, RUU itu akan menjadi undang-undang seolah-olah telah diizinkan.

“Bangkangan Sukri ke atas RUU Perlembagaan (Pindaan) 1994 ini bagaimanapun telah ditepis tajam oleh Anwar,” kata pensyarah dari Universiti Utara Malaysia itu.

Anwar dipetik sebagai membidas Semangat 46 kerana mempertahankan sistem feudal.

“Sistem feudal ini mengukuhkan kedudukan Raja dan memberikan hak dan kuasa yang nyata mutlak kepada Raja. Kita mempertahankan prinsip Raja Berperlembagaan, menghormati prinsip kemuliaan Raja-Raja tetapi tidak mengenepikan kehendak dan kedaulatan rakyat. Ini yang berlaku,” kata Anwar, yang ketika itu timbalan perdana menteri.

Kamarul berkata tuntutan Anwar di Mahkamah Persekutuan itu membayangkan betapa terdesaknya beliau dalam berpolitik.

“Beliau tergamak untuk menelan balik segala kata-kata yang beliau sendiri ucapkan,” kata Kamarul.

Akta MKN yang berkuat kuasa 1 Ogos 2016 itu membolehkan perdana menteri menetapkan sesuatu kawasan sebagai “kawasan keselamatan” dengan membenarkan pasukan keselamatan memeriksa mana-mana individu, kenderaan atau bangunan tanpa memerlukan waran.

Ia juga membenarkan penyiasat mengabaikan sebarang penyiasatan formal berhubung pembunuhan dilakukan polis atau tentera di dalam sesuatu “kawasan keselamatan”.

Semalam, Presiden Pakatan Harapan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, tuntutan Anwar bertujuan memansuhkan Akta MKN.

“Kerana apa yang dibuat tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong telah dijadikan satu undang-undang. Jadi, ini adalah satu (tindakan) menyalahi Perlembagaan negara kita.”