Cabaran, ancaman seimbang hubungan dengan China, AS

Redzuan-Kushairi-china-usGEORGE TOWN: Saingan semakin meningkat antara China yang pesat membangun dan Amerika Syarikat (AS) yang semakin merosot membawa cabaran besar kepada Malaysia yang rapat dengan kedua-dua negara tersebut, kata seorang bekas diplomat.

Datuk Redzuan Kushairi berkata, Beijing semakin agresif dengan pembinaan haram pangkalan tentera di kepulauan kecil dan terumbu karang di Laut China Selatan yang menjadi rebutan beberapa negara dan juga pendiriannya terhadap negara lain dalam isu itu.

Washington pula kelihatan semakin “susut”. Bagaimanapun, kekuatan ketenteraannya dan sistem sekutu serta pangkalan tentera canggih di seluruh dunia akan memastikan ia kekal negara paling berkuasa, kata Redzuan.

Kekuatan ekonomi AS juga kekal penting dengan dolar AS menjadi mata wang pilihan dunia, walaupun negara itu berdepan pelbagai masalah.

“Tetapi, seperti Malaysia dan negara lain, dasar luar bermula di tempat sendiri. Di samping masalah yang menunjukkan trend susut AS adalah Presiden Donald Trump yang menjadi masalah besar di AS dan juga dasar luarnya,” katanya kepada FMT.

Redzuan menyenaraikan beberapa tindakan Trump, seperti penarikan daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), meneruskan rundingan semula Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (Nafta), penarikan daripada Perjanjian Perubahan Iklim Antarabangsa Paris, Dasar “America First”, menyokong sesetengah parti politik berhaluan kanan lampau di Eropah, hubungan tidak baik dengan negara Eropah dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan penarikan dana berbilion dolar kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai hukuman ke atas undian menentang keputusan Trump mengenai Baitulmaqdis di perhimpunan agung PBB.

“Semua tindakan ini sama dengan AS mengabaikan peranannya sebagai pemimpin dunia,” katanya.

Redzuan berkata, situasi di Asia Tenggara dan keadaan Asean akan ditentukan oleh saingan China-AS, serta Malaysia akan berada di bawah tekanan untuk membuat penyesuaian dalam dasar luarnya, tindakan sukar dalam keadaan semasa.

Beliau berkata, Malaysia cuba menstabilkan hubungannya dengan AS dan China, tahun lalu.

Secara keseluruhannya, usaha dilakukan untuk mengekalkan hubungan rapat dengan AS dari segi ekonomi dan perdagangan, hubungan diplomatik dengan lawatan perdana menteri ke Washington, serta ketenteraan dengan menyertai latihan bersama dan persinggahan kapal tentera laut AS di pelabuhan.

Bagaimanapun, Redzuan berkata, dasar tegas China di Laut China Selatan, dan amalan agresif menggunakan kuasa ekonominya untuk memperoleh kontrak besar serta dalam sesetengah kes, pelaburan menyukarkan usaha imbangan Malaysia.

“Apa yang menjadi kontroversi besar di Malaysia adalah kurang ketelusan dalam projek besar melibatkan syarikat China, di mana kebanyakannya syarikat milik negara, dan spekulasi sama ada wujud kaitan keperluan menyembunyikan krisis kewangan besar akibat 1MDB, berserta keperluan mendapatkan dana untuk membiayai pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Malaysia patut berhati-hati menerima projek dan pelaburan dibiaya China kerana realitinya, China mempunyai rekod pemimpin dan parti pemerintah korup.

“Selalunya, kos projek tinggi untuk menyembunyikan wang sogokan dan insentif kewangan, dan semua syarat ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus baik diketepikan.”

Contohnya projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion, Forest City di Johor Bahru, kontroversi berterusan Tun Razak Exchange (TRX), pembinaan pelabuhan besar di Kuantan, Melaka, Pelabuhan Klang serta Pulau Pinang, dan terbaru jualan 2 bidang tanah besar di Pelabuhan Klang dan Pulau Pinang.

“Kebimbangannya adalah tidak lama lagi Malaysia akan dibebani hutang besar, yang akan menjadikan kita banyak berhutang kepada China dan akhirnya menjejaskan kedaulatan serta tidak dapat melaksanakan dasar luar sendiri.

“Apabila sesebuah negara terlalu bergantung kepada sebuah negara, terutamanya apabila negara itu berhasrat menguasai dunia dan menjadikan Asean pengaruhnya, rakyat Malaysia memang patut berwaspada dan lebih berhati-hati.”

Redzuan mengulas hubungan luar Malaysia pada 2017.

Krisis 1MDB yang tidak selesai

Kontroversi 1MDB terus menjadi isu terbesar negara, kata Redzuan sambil menambah krisis berkaitan 1MDB menjejaskan pelaksanaan dasar luar Malaysia.

Katanya, kes sivil dan jenayah sedang disiasat di beberapa negara dan sesetengah suspek yang terbabit dalam jenayah berkaitan 1MDB itu sudah didakwa di Singapura, dengan 2 cawangan bank terpaksa ditutup.

Bekas duta besar Malaysia ke Uzbekistan itu berkata, banyak peristiwa penting berlaku tahun lalu, khasnya dalam hubungan Malaysia-China, AS, Arab Saudi, Asean, kerjasama antara Malaysia dengan Indonesia dan Filipina dalam memerangi keganasan di selatan Filipina dan krisis Rohingya.

Katanya, dasar luar bertujuan menjaga keselamatan dan mempromosikan kepentingan utama Malaysia iaitu kedaulatan, kebebasan dan integriti wilayah, serta meningkatkan kepentingan diplomatik dan ekonomi negara, bersama imej Malaysia dalam komuniti antarabangsa.

“Ia banyak berkait dengan situasi domestik.

“Dasar luar bermula di rumah, dan situasi lemah dan bermasalah di negara sendiri akan membawa impak penting kepada dasar luar kita.”