Caj tambahan RM3 feri Langkawi ditarik balik selepas bantahan

Langkawi-ferrylangkALOR SETAR: Harga tiket feri Langkawi kembali kepada harga asal selepas caj pengurusan sebanyak RM3 yang diperkenalkan semalam ditarik semula selepas mendapat bantahan dari pelbagai pihak.

Tinjauan Bernama di jeti Kuala Kedah semaam mendapati harga tiket bagi dewasa kembali dijual pada harga RM23 berbanding RM26, manakala bagi kanak-kanak RM17 berbanding RM20 semalam.

Zaiton Abdullah, 54, berkata penarikan caj pengurusan itu melegakan banyak pihak dan berharap ia kekal bagi menggalakkan aktiviti pelancongan di pulau peranginan itu.

“Saya tidak setuju jika naik sebab saya datang dari Sik dah kena bayar RM9.80 untuk ke jeti ini, bila tiba di Langkawi kena bayar lagi RM26,” katanya.

Asmah Ishak, 55, berkata beliau bersyukur apabila harga tiket kembali kepada harga asal hari ini.

Kata Asmah, ia menjadi beban apabila melibatkan ahli keluarga yang ramai menyebabkan industri pelancongan boleh terjejas.

“Semalam saya kena bayar sampai RM26, tapi kerana ada tugas yang nak dibuat di Langkawi, saya pergi juga,” katanya.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Yusrizal Yusoff berkata, selepas kenaikan harga tiket, pihaknya menerima lebih 100 aduan berhubung perkara itu,

“Kita menyambut baik langkah yang diambil operator feri menarik semula caj pengurusan itu. Bagi saya adalah tidak wajar untuk mengenakan caj tersebut dengan alasan untuk menggalakkan pembelian tiket dalam talian.”