Kerajaan negeri pertimbang tindakan terhadap Husam

husam

KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan sedang mempertimbang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Husam Musa berhubung tuduhan beliau terhadap penamatan kontrak sebuah syarikat bagi pembinaan Lebuh Raya Rakyat sepanjang 10km dari Berangan Mek Nab ke Bukit Tiu di Machang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat negeri Datuk Hanifa Ahmad berkata kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan dengan peguam untuk meneliti kandungan ucapan Husam berhubung dakwaan dilemparkan terhadap kerajaan negeri pada satu majlis baru-baru ini.

“Sebenarnya kita tak tamatkan kontrak dengan syarikat terbabit (sebagaimana didakwa Husam), ia penamatan atas persetujuan bersama. Syarikat terbabit memaklumkan tak dapat nak teruskan kerja pembinaan kerana tekanan tertentu.

Maknanya, syarikat terbabit menyerahkan kembali projek berkenaan kepada kerajaan negeri dan kita setuju dengan penyerahan itu dengan syarat tertentu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim hari ini.

Mengulas lanjut, Hanifa berkata antara syarat yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak termasuklah kerajaan negeri perlu membuat bayaran RM50 juta kepada syarikat berkenaan berdasarkan kerja yang dibuat oleh syarikat itu sepanjang tempoh 8 bulan mereka melaksanakan kerja di tapak projek.

Beliau juga berkata syarikat berkenaan tidak akan membuat sebarang tuntutan tambahan terhadap kerajaan negeri dalam persetujuan berkenaan.

Hanifa berkata kerajaan negeri juga sedang menyiasat kebocoran dokumen sulit berkaitan projek berkenaan yang turut dikemukakan Husam pada majlis sama.

“Ini dokumen perjanjian penting dan kita sedang teliti jika dokumen itu dilepaskan dengan apa (jua) cara oleh pihak syarikat atau pegawai, maka kita akan ambil tindakan kerana membocorkan maklumat dokumen itu,” katanya.