MERS-Cov: Jemaah umrah dinasihat jangan lawat ladang unta

subramaniam-1

PUTRAJAYA: Syarikat pengendali pakej umrah dan ziarah dinasihatkan tidak menganjurkan lawatan ke ladang unta bagi mengelakkan jangkitan Sindrom Pernafasan Virus Korona Timur Tengah (MERS-CoV), kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam.

Beliau berkata, lawatan ke ladang haiwan itu boleh mendatangkan risiko jangkitan MERS-CoV kepada jemaah umrah kerana jangkitan respiratori yang disebabkan virus korona disyaki berpunca daripada unta.

Katanya, perkara tersebut dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dan pihak kementerian menasihatkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Agama) menasihatkan agensi pelancongan tidak menyediakan pakej lawatan ke ladang unta.

“Kementerian Kesihatan tidak boleh mengeluarkan larangan, jadi saya meminta kerjasama 2 kementerian itu agar perkara ini boleh diumum dan dimaklumkan kepada jemaah umrah tidak perlu melawat ladang unta (di Tanah Suci) bagi mengelakkan dijangkiti MERS-CoV,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurutnya, kedua-dua kementerian itu memberikan respons positif dan akan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan jangkitan MERS-CoV dalam kalangan jemaah umrah, haji dan pelawat dapat dicegah.

Mengulas lanjut, Dr Subramaniam berkata, seorang lelaki warga Malaysia yang disahkan dijangkiti MERS-CoV dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Sungai Buloh dan keadaannya dilaporkan stabil serta tidak bergejala.

Beliau berkata, sejak 30 Disember lepas, pihaknya menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan termasuk pengesanan kontak seramai 70 orang melibatkan ahli keluarga serumah, saudara mara, sahabat handai dan ahli kumpulan pakej umrah yang disertai lelaki berusia 55 tahun itu.

Aktiviti pengesanan turut dijalankan terhadap anggota kesihatan yang mengendalikan kes di klinik swasta yang dilawati dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang serta penumpang yang duduk berhampiran dengannya bagi perjalanan pulang ke Malaysia pada 23 Disember lalu.

Daripada 70 orang itu, 9 kontak mempunyai gejala ringan dan dimasukkan ke dalam wad isolasi serta didapati keputusan sampel mereka negatif MERS-CoV, manakala 41 kontak rapat yang tiada gejala diletakkan di bawah arahan pengawasan di rumah selama 2 minggu dari hari terakhir mereka mempunyai kontak dengan pesakit positif MERS-CoV.

“Bakinya yang tidak ada gejala telah diambil sampel dan kesemuanya adalah negatif,” katanya.

Berhubung banjir pula, Dr Subramaniam berkata, setakat ini tiada kemudahan kesihatan dan hospital di negeri dilanda banjir yang terjejas.

Beliau berkata, pasukan perubatan juga ditempatkan di setiap pusat pemindahan di negeri terjejas bagi memastikan mangsa menerima makanan dan minuman bersih, selain mengekang kemungkinan penularan penyakit berjangkit.

“Kita akan terus memantau dan memeriksa di pusat-pusat pemindahan bagi menghindari jangkitan penyakit, wabak dan kes berisiko serta meningkatkan tahap keselamatan mutu air minum dan makanan,” katanya.