PKR gesa Najib dedah semua perjanjian tol berat sebelah

wong-chen-3

GEORGE TOWN: Seorang wakil rakyat PKR menggesa perdana menteri mengumumkan semua perjanjian tol lebuh raya yang berat sebelah dan membetulkan masalah itu.

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen berkata, Datuk Seri Najib Razak patut berbuat demikian jika beliau ikhlas membantu pengguna jalan raya.

“Jika tidak, kritikannya terhadap bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tentang lebuh raya bertol hanyalah cubaan politik murahan,” katanya kepada FMT.

Ketua Biro Perdagangan dan Pelaburan PKR itu mengulas kenyataan Najib pada Isnin lalu mendakwa pembangkang bersikap hipokrit kerana menyanjung seorang bekas pemimpin disifatkannya “bapa segala tol”.

Dakwaan itu jelas ditujukan kepada Dr Mahathir yang kini mengetuai Pakatan Harapan dan PPBM.

Katanya, bekas pemimpin itu membuat perjanjian berat sebelah yang menguntungkan sesetengah kroni, tetapi merugikan dan menindas rakyat.

Najib berkata, keputusannya memansuhkan tol itu menjadikan pembangkang resah, ketika ia diumumkan pada Bajet 2018 di Dewan Rakyat, Oktober lalu.

“Malah, ada juga nak bina lebuh raya bertol di negeri yang mereka pimpin. Ada pula yang berjanji hapuskan tol sejak 2008 bila memimpin negeri, tapi sampai sekarang tol itu masih berada di situ. Kata-kata putar belit dan janji-janji manis yang ditabur kepada rakyat tak mungkin mampu mereka tunaikan.

“Kesemua ini hanya omong kosong, bukan sahaja tol, bahkan apa janji populis mereka kepada rakyat pun tidak mungkin dapat mereka laksanakan kerana hakikatnya mereka tidak mempunyai perancangan dan pelan kukuh untuk melaksanakannya,” tulisnya dalam blognya pada 1 Januari lalu.

Kutipan tol di Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di Selangor, Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL) dan Bukit Kayu Hitam dimansuhkan bermula kelmarin, seperti diumumkan dalam Bajet 2018 di Dewan Rakyat, Oktober lalu.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Tariq Ismail berkata, pelaksanaan strategi tol lebuh raya dahulu disasarkan untuk mendapat dana dengan kos terendah dan dibayar berdasarkan nilai ekonomi masa depan pembinaan infrastruktur itu.

“Tindakan Mahathir dalam perkara ini adalah amalan yang diterima, malah oleh standard hari ini.

“Malah, pendekatan baru untuk pembinaan infrastruktur awam seperti model perkongsian awam swasta dan undang-undang mengenainya sentiasa disemak, walaupun di negara maju seperti Eropah dan United Kingdom.

“Mengapa? Kerana tiada penyelesaian berdaya maju bagi ekonomi pembinaan infrastruktur awam dan penyelenggaraan jangka panjang,” katanya.

Tariq berkata, ia tidak berakhir di situ dan menegaskan perjanjian konsesi infrastruktur awam, walaupun biasanya untuk jangka panjang terbuka untuk semakan dan kajian semula.

“Ia adalah tugas kerajaan untuk menyelarasnya, terutamanya jika kerajaan sebelum ini dilihat sudah melakukan kesilapan dalam rundingan perjanjian.

“Hakikatnya, sebagai usaha jangka panjang, tanggapan kewangan yang dibuat di peringkat awal pembinaan infrastruktur itu patut diuji mengikut secara berkala, dan biasanya, untuk menilai tahap daya maju kewangan projek itu dalam jangka panjang dan mengelakkan pampasan mahal,” katanya.

Setahu beliau, kajian semula terakhir ke atas konsesi tol itu dibuat Najib sejurus beliau mengambil alih pentadbiran negara.

Keputusan melanjutkan perjanjian itu dibuat semasa semakan semula itu dan sebarang terma serta syarat yang menyebabkan kerugian kewangan sepatutnya diselesaikan ketika itu.

“Melainkan Dr Mahathir menyertai semua kajian semula itu, sebarang dan semua kesan selepas itu hanya menunjukkan pentadbiran ekonomi dan kewangan lemah.

“Dan ini adalah sebab mengapa rakyat ragu-ragu dengan niat kerajaan ketika ini. Ia mempunyai peluang sebelum pilihan raya untuk memperbetulkan masalah itu, tetapi gagal berbuat demikian.

“Sebaliknya, mereka memilih untuk memburukkan pihak tertentu dan mengalihkan tanggungjawab.”

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2018/01/01/najib-serang-dr-mahathir-bapa-segala-tol/