SPRM akui laporan media alternatif, tapi perlu tapis maklumat

dzulPETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengakui banyak maklumat rasuah dan salah guna kuasa didedahkan media massa serta alternatif, tetapi agensi itu akan menapis setiap maklumat terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan lanjut.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dipetik Berita Harian sebagai berkata, pasukan penyiasat akan meneliti laporan media sebelum memulakan siasatan kerana bukan semua laporan itu mengandungi elemen rasuah atau salah guna kuasa.

“Kita selama ini memantau semua berita yang disiarkan media massa dan jika ada elemen rasuah dan salah guna kuasa, kertas siasatan akan dibuka,” katanya kepada akhbar itu.

Pada 24 Ogos lalu, Dzulkifli memberi amaran kepada individu terlibat dalam siasatan SPRM supaya tidak membuat kenyataan berkaitan kes kerana kini menjadi “trend” mereka menemui media untuk menceritakan fakta kes.

“SPRM tidak mahu perbicaraan oleh pihak media. Kalau ada keterangan, datang ke SPRM atau bersabarlah. Dia sendiri pun tidak tahu sama ada dia masuk dalam senarai saksi atau mungkin suspek. Yang tidak sabar sangat hendak bagi keterangan di media itu kenapa?” soalnya seperti dilaporkan Ogos lalu.

Sementara itu, Dzulkifli berkata, SPRM akan menubuhkan bilik gerakan operasi di setiap negeri menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14), selain bekerjasama dengan polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Bagi memastikan tidak ada aktiviti rasuah dan salah guna kuasa, semua pegawai operasi SPRM akan berada dalam keadaan bersedia 24 jam.”

SPRM beri amaran kepada individu keluarkan kenyataan media