Kenapa sekolah kerajaan semakin tidak popular?

Teo-Kok-Seong-sekolah

PETALING JAYA: Seorang pendidik menggesa satu kajian dijalankan untuk mengetahui mengapa pendaftaran pelajar di sekolah vernakular tajaan kerajaan merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Prof Datuk Teo Kok Seong dari Universiti Kebangsaan Malaysia memberitahu FMT, keadaan itu membimbangkan dan ia menunjukkan ibu bapa tidak selesa dengan sistem sekolah kerajaan.

“Kerajaan harus melakukan satu kajian mengenai perkara ini sebelum lebih ramai ibu bapa memilih untuk keluar daripada sistem ini,” katanya.

Teo mengulas laporan Sin Chew Daily semalam yang jumlah pelajar di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) merosot untuk 5 tahun berturut-turut sehingga mencecah 41,172 orang secara keseluruhannya.

Malah, pelajar di sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Tamil, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan pelajar matrikulasi turut menunjukkan kadar menurun.

Sekolah Cina dan Tamil tajaan kerajaan dikenali sebagai sekolah “jenis kebangsaan”.

Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon dilaporkan berkata, SJKC kini mempunyai 525,170 pelajar, kurang hampir 2,000 daripada jumlah pelajar tahun lalu.

Katanya, punca utama ialah kadar kelahiran merosot dan ini ialah akibat urbanisasi yang menyebabkan populasi negara tua, selain ibu bapa memilih sekolah antarabangsa.

“Sesetengah ibu bapa memilih untuk menghantar anak ke sekolah antarabangsa, keluarga sedemikian lebih berkemampuan dan berharap anak mereka didedahkan kepada pendidikan aliran Inggeris.”

Bilangan sekolah antarabangsa di negara ini meningkat daripada 66 pada 2010 kepada 126 tahun ini.

Teo yang merupakan felo utama di Institut Kajian Etnik UKM bimbang ibu bapa akan terus menjauhi sekolah kebangsaan dan generasi muda mungkin kurang pengetahuan mengenai sejarah tempatan dan integrasi nasional seperti dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).

Beliau berkata pelan itu dihasilkan selepas satu siri dialog dengan pihak berkepentingan, termasuk ibu bapa.

“Ia seiring apa yang diminta rakyat.

“Pelan itu bagus, tetapi jika ibu bapa memilih untuk keluar daripada sistem, ia menunjukkan mereka tidak selesa dan tidak mempercayai sistem itu.”

Beliau berkata keadaan itu memerlukan kajian semula terhadap keberkesanan PPPM.

Ibu bapa yang pernah ditemu bual media sebelum ini memberi pelbagai alasan mengapa mereka enggan menghantar anak ke sekolah kerajaan.

Ramai mengadu kelas sesak di sekolah kebangsaan dan tidak selesa dengan dakwaan pengislaman yang semakin meningkat di sekolah kerajaan.

Pelajar sekolah Cina berkurangan lebih 40,000 dalam 5 tahun

Pakar cadang gabung sekolah pelbagai aliran jadi satu aliran