PKR Selangor: Majoriti lebih tinggi jika Azmin bertanding di Shah Alam

Shuhaimi-Shafie_azmin-ali_600

PETALING JAYA: Datuk Seri Azmin Ali yang merupakan pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor boleh bertanding di mana-mana kawasan Parlimen di negeri itu, kata Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei.

Beliau turut menepis dakwaan Azmin akan ditukarkan ke Shah Alam kerana kedudukan menteri besar Selangor itu di kerusi Parlimen Gombak tidak lagi selamat kerana kawasan itu didominasi penyokong PAS yang sudah memutuskan kerjasama politik dengan PKR, Mei lalu.

“Tidak timbul soal kerusi Gombak tidak selamat. Gombak adalah kubu kuat PKR dan saya berkeyakinan kerusi itu akan terus kekal menjadi penyumbang kepada kemenangan PH pada PRU14 akan datang,” katanya kepada FMT mengulas laporan Azmin dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin yang dijangka diturunkan di kerusi Parlimen Shah Alam serta Hulu Langat pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Menurut sumber dipetik Bernama, nama 2 pemimpin PKR itu dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Raya (JPR) PH Selangor di Shah Alam, semalam.

Mengulas lanjut, Shuhaimi yang juga setiausaha politik Azmin yakin timbalan presiden PKR itu mampu menang di kerusi Shah Alam yang disandang Khalid Abdul Samad, bekas timbalan pesuruhjaya PAS Selangor yang kini bersama Amanah.

“PKR ada pengalaman bertanding di Parlimen Shah Alam pada 1999 dan mencipta sejarah menurunkan undi mejoriti Umno-BN kepada hanya 1,440 undi sahaja. Sebelum itu, Umno menang dengan majoriti lebih 40,000 undi. Jadi, Shah Alam bukanlah kawasan baru pada kita.

“Sebagai ibu negeri Selangor, jika Azmin sendiri yang bertanding mewakili rakyat di Shah Alam, saya fikir ia boleh membantu menyumbang kemenangan PH dengan lebih bergaya. Kita masuk untuk menambah kerusi menang dan Shah Alam sangat berpotensi menyumbang satu kerusi yang signifikan melalui Azmin.”

Bagaimanapun, Shuhaimi yang juga adun Sri Muda berkata, keputusan muktamad pembahagian kerusi itu terletak di tangan pimpinan PH.

“Apapun terpulanglah kepada perbincangan muktamad di peringkat PH sendiri. Bagi saya untuk menang, kita perlu berubah dan licik bermain strategi di semua peringkat, sama ada DUN (Dewan Undangan Negeri) atau Parlimen.”

Ada khabar angin mengatakan Khalid bakal diturunkan di Johor pada PRU14.

Kerusi Shah Alam dan Hulu Langat dimenangi PAS pada PRU13 yang berada di bawah naungan Pakatan Rakyat ketika itu.

Azmin memenangi kerusi Parlimen Gombak dan DUN Bukit Antarabangsa sejak 2008, manakala Zuraida pula ialah penyandang kerusi Parlimen Ampang selama 2 penggal.

Pada PRU13, kerusi Parlimen Shah Alam dimenangi Khalid atas tiket PAS, selepas menewaskan calon BN, Datuk Zulkifli Noordin dengan majoriti 10,939 undi.

Kerusi Parlimen Hulu Langat pula dimenangi Che Rosli Che Mat daripada PAS yang mengalahkan calon BN, Adzhaliza Mohd Nor dengan majoriti 17,267 undi.

Zuraida sedia pindah dari Ampang untuk lawan PAS