Tentera dakwa selatan Thailand makin selamat

Pramote-Prom_thailand

PETALING JAYA: Pemerintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri (Isoc) Thailand berkata keadaan keselamatan di wilayah Narathiwat, Yala, Pattani dan Songkhla secara konsisten bertambah baik berbanding 14 tahun lalu.

Bangkok Post melaporkan jurucakap Isoc Wilayah 4, Kolonel Pramote Prom-in sebagai berkata keadaan keseluruhan bertambah baik dan seramai 8,700 askar diundurkan dari rantau itu pada Oktober 2016.

“Tahun ini, 3,000 lagi tentera akan ditarik balik dan 58,000 masih dikekalkan di sana,” kata Pramote semalam bersempena ulang tahun ke-14 pemberontakan bersenjata di wilayah Narathiwat, Yala, Pattani dan Songkhla.

Beliau berkata Isoc mempunyai pelan 3 fasa untuk meredakan pergolakan di selatan Thailand.

“Fasa pertama bermula pada 2004 hingga 2010 dengan keutamaan diberikan pada mengawal keganasan dengan menggerakkan 22 batalion untuk membendung keganasan.

“Fasa ke-2 dilancarkan pada 2011 dan kini hampir berakhir. Ia memberi tumpuan pada pelaksanaan langkah proaktif dan strategi pembangunan.

“Tentera daripada pasukan pertama, ke-2 dan ke-3 ditarik semula tahun lepas, sementara sejumlah 164 unit pertahanan sukarela ditubuhkan untuk mengekalkan keselamatan di kawasan-kawasan mereka,” katanya lagi.

Beliau berkata ribuan pegawai kerajaan tempatan, sukarelawan dan pegawai polis direkrut untuk mengambil bahagian dalam operasi keselamatan rahsia di wilayah itu.

“Jika usaha itu berjalan mengikut perancangan, usaha memulihkan keamanan harus menghasilkan hasil yang mampan dalam fasa terakhir yang akan bermula tahun depan,” kata Pramote.

Menyusuri sejarah, pemberontak di 4 wilayah itu bermula apabila pemberontak melancarkan serbuan mengejut ke atas ibu pejabat Pembangunan Battalion ke-4 di kem tentera Kromluang Naradhiwas Rajanagarindra di daerah Cho Airong di Narathiwat pada awal pagi 4 Januari 2004.

Serbuan itu dianggap pencetus kepada pemberontakan oleh generasi militan pelampau baharu.

Serangan itu membunuh 4 askar, selain pemberontak merampas 413 senjata api dan bahan peledak daripada gedung batalion itu.

Sejak itu senjata yang dirampas digunakan dalam serangan dan gunakan untuk melakukan serangan yang berulang kali berlaku di selatan negara itu.

Tentera kerajaan baru sahaja menjumpai 100 daripada 413 senjata yang dirampas itu.

Pada ulang tahun ke-14 ini, unit keselamatan di Narathiwat, Yala, Pattani dan Songkhla diberi amaran keras kemungkinan berlaku serangan.

Sementara itu, Agensi Berita Isra melaporkan sejumlah 15,164 insiden keganasan berlaku dalam tempoh 4 Januari 2004 hingga 28 Disember 2017.

Keganasan yang melibatkan kes keselamatan ialah sebanyak 9,823 manakala jumlah kes yang dikaitkan dengan jenayah am dan konflik peribadi pula 3,982.

Daripada 9,823 kes keselamatan, 4,235 melibatkan serangan senjata api, 3,439 (pengeboman) dan 1,505 (pembakaran).

Terdapat juga 191 kes serang hendap, diikuti 176 rompakan senjata api, 65 (demonstrasi), 48 (serangan terhadap individu) dan 41 (serangan ke atas pangkalan keselamatan).

Daripada 3,949 kematian, 2,557 ialah orang awam, diikuti 570 tentera, 384 (pegawai polis), 109 (guru), 21 (pemimpin agama) dan 64 (pemberontak).

Seramai 10,501 yang cedera, mereka termasuklah 5,856 orang awam, 2,701 (tentera), 1,574 (pegawai polis), 130 (guru), 24 (pemimpin agama) dan 7 (pemberontak).

Orang awam adalah jumlah yang paling ramai terkesan dengan keganasan di wilayah itu, diikuti tentera, polis, pemimpin tempatan dan guru.