Nur Jazlan: Polis gagalkan 19 rancangan keganasan dalam 5 tahun

nur-jazlan_isis_man_senjata_600

PUTRAJAYA: Polis dan agensi penguatkuasaan lain berjaya menggagalkan 19 rancangan keganasan di negara ini antara 2013 hingga 2017, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Sepanjang tempoh sama, beliau berkata, 369 suspek militan IS, termasuk 87 warga asing ditahan.

Nur Jazlan berkata, serangan bom tangan di kelab malam Movida, Puchong pada Jun 2016 dianggap serangan berkaitan IS pertama di Malaysia, yang merupakan peringatan terhadap realiti keganasan moden itu.

“Syukur ia tidak melibatkan kematian dan pelakunya telah ditahan dan dihukum penjara.

“Konflik yang berlaku beribu batu jauhnya telah mendatangkan masalah besar dan nyata terhadap keselamatan di tanah air kita,” katanya semasa menyampaikan kenyataan Malaysia pada Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya (PISD) 2018 hari ini.

Nur Jazlan berkata, sudah tiba masa untuk komuniti antarabangsa menyemak semula pendekatan sedia ada untuk memerangi keganasan.

“Daripada mengambil tindakan reaktif, adalah lebih bijak untuk mengambil langkah-langkah proaktif dalam memastikan bibit-bibit ekstremisme dihapuskan,” katanya sambil menambah, Malaysia mengilhamkan idea yang menawarkan pendekatan kesederhanaan dalam tafsiran agama, khususnya bagi menangani IS.

“Pendekatan secara keras yang mungkin dilihat efektif untuk jangka masa pendek, tidak dapat menangani punca isu keganasan, sepertimana perang terhadap penjenayah dan pengganas kerana ini lebih kepada hati dan minda, perang terhadap perbezaan ideologi.”

Nur Jazlan berkata, kaunseling dan pendidikan semula serta pembabitan pemimpin agama dan pakar dalam membetulkan serta menangani pandangan salah tentang Islam dengan pesalah keganasan, merupakan kaedah efektif dalam proses meradikalisasikan mereka.

“Ia juga bagi mengubah bekas pesalah untuk menjadi pihak penting dalam menangani propaganda dan ideologi IS,” katanya.

Sementara itu, Mehmet Mehdi Eker, wakil presiden Turki dalam kenyataan negaranya berkata, keganasan hanya boleh ditangani menerusi kerjasama antarabangsa secara efektif.

Beliau berkata, Turki percaya pendekatan secara kolektif dalam menangani ancaman terhadap keselamatan global dapat menyumbang kepada usaha antarabangsa dalam memerangi keganasan.

“Hanya tindakan bersama dan kesepaduan boleh menjamin dunia yang lebih selamat dan aman,” katanya.

Mehmet turut merakamkan penghargaan negaranya kepada Malaysia atas kerjasama mengekang kegiatan pertubuhan pengganas Fethullah Terrorist Organisation (Feto) di Malaysia.

Beliau berkata, Turki mempunyai pengalaman luas dalam memerangi keganasan dan terbabit secara aktif dalam memerangi pelbagai pertubuhan pengganas seperti IS, Kurdistan Workers’ Party (PKK) dan Feto.

“Tiada kumpulan pengganas yang harus disokong dan diberi justifikasi. Ini malah merupakan ujian terpenting terhadap keikhlasan. Di sini, kita semua perlu berada di landasan sama.”

Dialog berprofil tinggi selama 2 hari itu berhubung isu keselamatan antarabangsa bertemakan “Kebijaksanaan dan Kesederhanaan Dalam Membanteras Keganasan” dianjurkan Kementerian Dalam Negeri dengan kerjasama Rabitah Al-Alami Al-Islami, sebuah badan bukan kerajaan berpangkalan di Arab Saudi.