‘Pakar, institusi agama perlu proaktif perangi keganasan, ekstremisme’

najib_islam_600

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak menggesa semua pakar dan institusi agama lebih proaktif memerangi ancaman keganasan dan ekstremisme.

Perdana menteri berkata, selain menyebarkan ajaran Islam, golongan itu juga bertanggungjawab memerangi unsur negatif terhadap Islam.

“Dialog hari ini bukan sahaja menjadi medium memajukan idea kebijaksanaan dan kesederhanaan dalam menentang keganasan,” katanya ketika berucap di Dialog Keselamatan Antarabangsa Putrajaya (PISD) 2018, hari ini.

Dialog 2 hari yang bertemakan “Kebijaksanaan dan Kesederhanaan Dalam Membanteras Keganasan” itu dianjurkan Kementerian Dalam Negeri dengan kerjasama Rabitah Al-Alami Al-Islami (Liga Muslim Dunia), sebuah pertubuhan bukan kerajaan berpusat di Arab Saudi.

Najib berkata, Malaysia giat mempromosikan konsep wasatiyyah atau kesederhanaan sebagai rangka kerja dalam pelbagai aspek, termasuk pentadbiran serta menyelesaikan pertikaian atau masalah.

“Walaupun wasatiyyah ialah satu konsep al-Quran, tetapi tidak bermakna ia tidak relevan kepada bukan Islam.

“Kesederhanaan juga perisai genting terhadap ideologi-ideologi ekstrem, keradikalan dan keganasan.”

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kumpulan pengganas wujud dalam semua agama, oleh itu usaha pencegahan perlu dilakukan semua agama.

“Kita tidak berhasrat bergerak secara peribadi, tetapi kita sentiasa bekerjasama dengan ulama dan cendekiawan untuk menumpukan usaha menangani IS.”