Bekas tentera mahu PH batal perjanjian dengan China, jika menang PRU14

harapan-china-malaysiaSHAH ALAM: Seorang bekas tentera mahu Pakatan Harapan (PH) membatalkan perjanjian dimeterai kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan China, jika gabungan pembangkang menang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Zainal Abidin Naus yang mewakili bekas tentera dalam PH berkata, tidak mustahil negara digadaikan jika perjanjian itu diteruskan.

“Dulu, polis dan tentera dikerah masuk dalam hutan tentang komunis, tetapi sekarang negara boleh membiarkan mereka (China) berniaga di dalam negara kita.

“Perjanjian dengan China perlu dibatal.

“Bekas tentera dan polis akan sokong PH. Kita tidak mahu sokong membuta tuli lagi,” katanya pada Konvensyen PH 2018 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) hari ini.

Pada 5 November tahun lalu, Datuk Seri Najib Razak menempelak parti pembangkang yang mendakwanya menjual kedaulatan negara kepada China melalui projek mega.

Perdana menteri turut menyifatkan tuduhan tidak masuk akal yang dilemparkan pembangkang itu direka orang bodoh.

Beliau pernah berkata, projek infrastruktur berkenaan akan kekal milik negara dan dikendalikan rakyat Malaysia.

Sepanjang lawatan Najib ke China pada November 2016, 14 memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian bernilai RM143.64 bilion dimeterai dengan China.

Sementara itu, Zainal mendakwa kos sara hidup yang semakin tinggi menyebabkan ramai pesara tentera terpaksa kerja semula kerana wang pencen mereka tidak dapat menampung perbelanjaan sekeluarga.

“Penyelarasan pencen seharusnya perlu adil dari semasa ke semasa.

“Berilah perhatian sewajarnya. Janganlah bekas tentera dan keselamatan negara ini dibiarkan sahaja.”

Kepala bapak kau dakwa saya jual kedaulatan negara, tempelak Najib