Kanak-kanak lelaki hilang secara misteri di Tawau

boy-missingTAWAU: Polis sedang mengesan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang dilaporkan hilang sebelum kali terakhir dilihat sedang menonton televisyen di rumahnya.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus berkata, setakat ini pihaknya sedang menyiasat dan mencari Muhammad Azizan Rosli, 9, murid Sekolah Kebangsaan Bandar Sadani 6 selepas satu laporan polis tentang kehilangan mangsa dibuat bapanya Rosli Gani, 57, semalam.

“Berdasarkan maklumat awal kejadian itu disedari ibu mangsa kira-kira 4.30 petang setelah mendapati mangsa tidak berada di rumah dan mencari di kawasan sekitar kampung dan rumah saudara-mara tetapi masih tidak ditemui.

“Sebelum itu, pada 3 petang ibu mangsa keluar rumah, menghadiri majlis bacaan Yasin di Masjid At Taqwa Kampung Sadani dan meninggalkan mangsa bersama abang mangsa yang juga seorang orang kurang upaya (OKU) fizikal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, katanya pihak Bomba dan Penyelamat Tawau yang dimaklumkan mengenai kejadian tersebut turut melaksanakan operasi mencari dan menyelamat di kawasan sungai berdekatan.

Fadil berkata mengikut siasatan awal, mangsa kali terakhir dilihat memakai baju jersi berwarna biru dan berseluar hitam.