Muhyiddin ingatkan ahli jangan jadi pengkhianat sabotaj calon PH

muhyidinSHAH ALAM: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memberi amaran kepada semua ahli Pakatan Harapan (PH) supaya tidak mensabotaj calon sendiri pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Timbalan presiden PH itu menggelar mereka yang mensabotaj calon gabungan 4 parti pembangkang itu sebagai pengkhianat.

“Kita mesti sokong calon tak kira parti mana. Tun Dr Mahathir Mohamad beri arahan tak kira kerusi siapa bertanding, semua adalah calon kita, walaupun itu bukan kawasan kita tandingi.

“Sokong 100%. Jangan ada sabotaj, siapa sabotaj adalah pengkhianat,” katanya semasa berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan di Pusat Konvensyen Ideal hari ini.

Muhyiddin yang juga presiden PPBM turut mengkritik PAS dengan menyifatkan parti Islam itu “berkhalwat” dengan Umno.

“Dalam PRU ini kita berdepan BN yang PAS sudah berpisah dan nampaknya mereka ‘berkhalwat’ dengan Umno.

“Jadi, untuk rakyat, lebih mudah mereka sokong Pakatan Harapan dan tentang siapa ‘berkhalwat’ dengan Umno,” kata ahli Parlimen Pagoh itu.