Mahathirisme masih kuat dalam pembangkang, kata pemimpin BN Sabah

Johnny-Mositun-1PETALING JAYA: Keputusan Pakatan Harapan (PH) menamakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri menunjukkan amalan Mahathirisme yang masih kuat dalam pihak pembangkang, kata Parti Bersatu Sabah (PBS).

Setiausaha Agung PBS, Johnny Mositun berkata langkah PH itu memberi tanggapan politik adalah tentang menjaga dinasti keluarga agar tidak berpecah-belah, bukannya memberi peluang kepada pemimpin yang lebih layak.

Mositun mendakwa pengumuman PH itu juga melenyapkan peluang Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang dipecat sebagai timbalan perdana menteri, untuk mengisi jawatan perdana menteri.

“Apa yang saya boleh katakan adalah, saya bersimpati dengan Muhyiddin. Beliau menyuarakan penentangan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana beliau percaya Dr Mahathir akan membelanya untuk menjadi perdana menteri seterusnya.

“Spekulasi tentang siapa yang akan menjadi perdana menteri sudah agak lama diperkatakan tetapi nama Muhyiddin tidak pernah disebut atau dipertimbangkan,” katanya.

Mositun mempersoalkan pihak pembangkang sama ada ia lupa siapa yang dahulunya memenjarakan Anwar dan siapa yang memecatnya sebagai timbalan perdana menteri dan daripada kesemua jawatannya dalam Umno.

Semalam, PH pada konvensyen kedua yang diadakan di Shah Alam mengumumkan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri sekiranya gabungan itu menang pada pilihan raya umum akan datang.

Sementara Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dinamakan calon timbalan perdana menteri PH.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata rakyat Sabah tidak akan memaafkan Dr Mahathir berhubung Projek IC.

Beliau mengingatkan tentang Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) terhadap Projek IC, di mana bekas perdana menteri itu secara terbuka mengaku bertanggungjawab dalam pemberian kad pengenalan kepada warga asing.

“Rakyat Sabah juga akan mengingati Dr Mahathir sebagai penaung Perkasa dengan apa yang mereka katakan dan lakukan untuk merosakkan keharmonian pelbagai kaum di Malaysia.”

Tangau turut menganggap Dr Mahathir liabiliti besar untuk pakatan pembangkang tersebut.

Beliau juga berkata pemilihan Dr Mahathir akan memberi kesan kepada Parti Warisan Sabah, kerana pentadbiran Dr Mahathir dulu tidak disenangi rakyat Sabah dan Sarawak.

“Kami pastinya tidak mahu ataupun tidak mampu untuk mengulanginya.”

Tangau bagaimanapun berkata ia adalah hak PH untuk menamakan siapa yang mereka mahu sebagai perdana menteri.

“Ia bukan untuk saya memberi komen kerana ia adalah pilihan mereka,” katanya, sambil menambah beliau “geli hati” dengan pengumuman PH sedangkan pembangkang sebelum ini berjanji untuk membawa Dr Mahathir ke muka pengadilan selepas menawan Putrajaya.