Kumpulan Islam: Pembersih, pekerja dapur hotel turut dilarang bertudung

Rafidah-Hanim-Mokhtar-wafiq-tudung-ban-1KUALA LUMPUR: Sebuan kumpulan Islam yang baru-baru ini mendedahkan sesetengah hotel melarang pekerjanya bertudung, hari ini berkata amalan itu masih diteruskan.

Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq) berkata, mereka difahamkan sebuah hotel 5 bintang di Kuala Lumpur bukan sahaja melarang pekerja barisan depan bertudung, malah ia turut dilaksanakan ke atas semua pekerja yang perlu bersemuka dengan pelanggan.

Presiden Wafiq, Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, larangan itu turut diperluaskan kepada juruwang, pengurus acara, kakitangan bankuet, pembersih bilik dan mereka yang bekerja di dapur.

“Permintaan pekerja hotel untuk bertudung ditolak berkali-kali oleh pengurusan hotel. Antara sebab yang diberikan pihak pengurusan ialah mereka sedang menunggu arahan lanjut daripada MAH,” katanya merujuk Persatuan Hotel Malaysia yang dikritik kerana mempertahankan larangan itu.

Rafidah berkata, kumpulannya sudah menemuramah 3 pekerja hotel itu yang tidak dinamakan untuk melindungi mereka daripada dikenakan tindakan disiplin.

Katanya, mereka ialah seorang juruwang, tukang urut spa dan pengurus bankuet yang bersama hotel berkenaan 10 hingga 27 tahun.

“Ada yang akan fikir pengalaman luas, kemahiran dan kesetiaan mereka menjadi aset bernilai kepada syarikat itu. Malangnya, keadaan bukan begitu dan ia memalukan pada hari ini dan zaman ini, rangkaian hotel di bawah MAH memilih untuk berpegang pada konsep tidak masuk akal tanpa tudung sebagai elemen penting untuk menarik pelanggan.

“Dengan berbuat demikian, mereka juga menafikan peluang ribuan wanita muda Islam daripada meneruskan kerjaya dalam bidang hospitaliti.”

November lalu, pihak berkuasa berkata, beberapa hotel antarabangsa disiasat susulan dakwaan pekerja beragama Islam dilarang bertudung.

Operasi bermula dengan pemeriksaan di 7 hotel di Putrajaya, dengan hotel di Kedah, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor akan dipanggil tidak lama lagi.

Pengerusi MAH, Samuel Cheah Swee Hee dilaporkan mempertahankan larangan itu dengan berkata, ia sebahagian dasar antarabangsa, bukannya diskriminasi.

Kenyataan itu dibidas ahli politik kerajaan dan pembangkang, termasuk aktivis dan kumpulan masyarakat sivil.

Rafidah menggesa Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mengambil tindakan terhadap MAH yang gagal menangani diskriminasi agama.

“Kami juga berharap Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memantau aduan ini dengan merangka mekanisme berkesan bagi memastikan mereka memberi maklum balas terhadapnya.”