Kamalanathan: Pasang CCTV di sekolah berisiko tinggi pantau jenayah

P-Kamalanathan-cctv-sekolahPUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan sedang mengenal pasti sekolah berisiko tinggi yang memerlukan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau perbuatan jenayah dan mengawal keselamatan sekolah, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan.

“Senarai yang dimuktamadkan akan dimaklumkan kelak,” katanya mengulas cadangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berhubung pemasangan CCTV di sekolah.

Kamalanathan berkata, kementerian juga sependapat dengan saranan NUTP pemasangan CCTV dibuat di tempat awam dan tidak sekali-kali menceroboh privasi pelajar dan guru.

“Pemasangan CCTV ini bukan perkara mudah dan tidak boleh mengambil tindakan sesuka hati. Ia perlu perbincangan rapi dengan pihak sekolah dan PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) sebelum dilaksanakan,” katanya pada sidang media program rintis pelaksanaan mata pelajaran Kesusasteraan Tamil di pejabatnya hari ini.

Mengenai mata pelajaran Kesusasteraan Tamil itu, Kamalanathan berkata, Bahagian Pembangunan Kurikulum dalam proses menggubal kurikulum Kesusasteraan Tamil yang akan dilaksanakan pada 2020.

“Ini mengambil kira murid-murid yang memulakan pembelajaran di sekolah menengah dengan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) tahun lalu yang akan berada di tingkatan 4 pada 2020.

“Sebelum pelaksanaan kurikulum Kesusasteraan Tamil di sekolah, kurikulum ini akan dirintis di beberapa sekolah terpilih untuk melihat kesesuaian kandungan,” katanya.

Menurut Kamalanathan, mata pelajaran Kesusasteraan Tamil disenaraikan sebagai mata pelajaran Elektif Kemanusiaan dan Sastera Ikhtisas dalam KSSM yang mula dilaksanakan tahun lalu, dan ia ditawarkan kepada murid di Tingkatan 4 dan 5.

Ketika ini, katanya, mata pelajaran itu dilaksanakan sebagai sukatan peperiksaan dan dijadikan mata pelajaran peperiksaan sahaja.

“Mana-mana pelajar yang berminat untuk mengambil mata pelajaran ini boleh berbuat demikian kerana sekarang ia ditawarkan sebagai satu daripada subjek di sekolah,” katanya.

Bagi tahun ini, seramai 3,139 pelajar akan menduduki peperiksaan Kesusasteraan Tamil bagi Sijil Pelajaran Malaysia dan lebih 800 pelajar bagi peperiksan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia.

“Kadar kelulusan para pelajar yang mengambil Kesusasteraan Tamil adalah konsisten pada tahap 80 hingga 90% setiap tahun,” katanya.