Mahkamah bebaskan Zaid, pihak pendakwaan patut panggil Najib

zaidKUALA LUMPUR: Mahkamah Siber hari ini membebaskan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim daripada tuduhan memuat naik kenyataan jelik terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di blognya pada 2015.

Hakim Zaman Mohd Noor mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Katanya, di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, mangsa perlu dipanggil untuk menjelaskan sama ada tindakan ahli DAP itu memberi kesan kepadanya.

“Bagi saya, pendakwaan gagal panggil mangsa untuk mengesahkan dia ‘annoyed’,” katanya merujuk Najib sebagai mangsa.

“Dan terdapat lompong dalam kes pendakwaan dan saksi pendakwaan bercanggah pendapat.”

Dakwaan ke atas Zaid dibuat berdasarkan catatan blognya bertajuk “Rally Behind Tun Dr Mahathir Mohamad” pada 2 September 2015 yang menggesa rakyat menyokong seruan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggulingkan Najib.

Zaid didakwa memuat naik komen itu dengan “niat menyakitkan hati orang lain”.

Bercakap kepada wartawan di luar mahkamah, Zaid berkata, kesnya akan menjadi duluan kepada kes lain.

“Ianya sesuatu yang baru untuk mempunyai seorang hakim yang melihat perkara dengan jelas, dan tidak risau untuk berbuat keputusan sedemikian.”

Zaid mempertahankan kiriman blognya tidak menyakitkan hati.

“Saya bukan cuba menyakitkan hati sesiapa, tetapi saya hanya cuba menaikkan semangat untuk perubahan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, mereka akan membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah membebaskan Zaid.

Zaid diwakili peguam kanan M Puravalen, Americk Sidhu dan Amarjit Sidhu.

 

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2015/12/04/kerana-kritik-najib-zaid-didakwa-ganggu-orang-awam/