Henti beri kenyataan dari penjara, amaran Nur Jazlan kepada Anwar

nur-jazlan-anwar-ibrahimJOHOR BAHRU: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed mempersoalkan tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan meskipun ketua umum PKR itu masih dalam tempoh tahanan.

Menurutnya, ini kerana sebarang bentuk komunikasi yang dikeluarkan seorang banduan adalah dikawal dan perlu mendapat kebenaran ketua pengarah Jabatan Penjara.

“Sejak akhir-akhir ini, saya melihat banyak kenyataan dikeluarkan Datuk Seri Anwar dan (saya tertanya) adakah kenyataan itu benar dikeluarkan beliau,” kata Nur Jazlan selepas menyempurnakan Majlis Ulang Tahun Persatuan Kebajikan Anak Minangkabau negeri Johor kali ke-7 di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, hari ini.

Nur Jazlan berkata, antara kenyataan yang didakwa dikeluarkan Anwar termasuk PKR bersetuju secara prinsip dan mendapat “restu” dengan cadangan Pakatan Harapan (PH) menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

“Adakah benar beliau memberi kenyataan mengenakan 3 syarat untuk Tun Dr Mahathir menjadi calon perdana menteri serta ketua Pakatan Harapan.

“Kalau ada orang tengah yang membawa mesej daripada Anwar yang tidak diluluskan Jabatan Penjara, ia merupakan satu kesalahan yang boleh memberikan impak kepada tempoh tahanannya.”

Selain itu, Nur Jazlan berkata, sekiranya ada pihak ke-3 yang membawa kenyataan daripada Anwar, tindakan boleh diambil termasuk hukuman tidak dibenarkan lagi berjumpa Anwar.

Baru-baru ini, PKR dilapor menetapkan syarat kepada Dr Mahathir untuk menjadi perdana menteri.

Antara syarat dikenakan termasuk membebaskan Anwar dengan segera serta melantik beliau sebagai perdana menteri dalam tempoh 6 hingga 12 bulan, sebaik sahaja PH mengambil alih Putrajaya selepas PRU14 serta Dr Mahathir perlu bersetuju melakukan reformasi kepada institusi penting di negara ini.