Peguam: Penjara boleh guna budi bicara benar Dr M lawat Anwar

N-Surendran-mahathir-visit-anwar-jail-malaysiaPETALING JAYA: Seorang peguam berkata, Jabatan Penjara boleh menggunakan budi bicaranya untuk membenarkan Tun Dr Mahathir Mohamad melawat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Rehabilitasi Cheras, Rabu lalu.

N Surendran yang juga ahli Parlimen Padang Serai berkata, tiada prosedur ditetapkan untuk keadaan atau senario sedemikian.

“Anda boleh buat permohonan rasmi, tetapi tiada apa yang menghalang pihak berkuasa penjara daripada membenarkan lawatan Mahathir sebaik sahaja beliau tiba di sana, khasnya apabila mengambil kira beberapa menteri, perdana menteri dan timbalan perdana menteri turut melawat Anwar di hospital.

“Apa alasan tidak membenarkan permintaan ini?

“Ini seorang negarawan dan bekas perdana menteri yang datang melawat Anwar.

“Jadi, disebabkan ia adalah budi bicara mereka untuk membenarkan lawatan itu, kenapa pihak berkuasa penjara tidak membenarkannya?

“Mereka tidak membenarkannya kerana mereka tidak mahu membenarkannya, bukan kerana isu memerlukan permohonan rasmi.”

Surendran menyifatkan alasan Jabatan Penjara, termasuk lawatan itu akan menjadi kontroversi adalah “lemah dan bercanggah”.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed mendakwa Anwar masih seorang banduan dan sesiapa yang mahu melawatnya perlu mendapatkan kebenaran Jabatan Penjara.

“Ia menjengkelkan dan menyakitkan hati mereka tidak membenarkan lawatan itu, tetapi memberi pelbagai alasan berbeza kenapa mereka melarang Mahathir melawat Anwar.”

Rabu lalu, Dr Mahathir meluahkan rasa sedihnya kepada wartawan yang beliau dimaklumkan Jabatan Penjara mereka mendapat “arahan dari atas” untuk melarangnya melawat Anwar.

“Saya diberitahu menteri dalam negeri tidak membenarkan saya melawat Anwar.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, beliau mahu melawat Anwar bagi mengucapkan terima kasih secara peribadi kepadanya kerana memudahkan rundingan calon perdana menteri gabungan itu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga menteri dalam negeri menafikan beliau mengarahkan pihak berkuasa penjara menghalang lawatan itu.

Dr M tidak dibenarkan lawat Anwar

Jabatan Penjara: Dr M tak dibenarkan lawat Anwar kerana tiada permohonan