Pakar: Ganti Pendidikan Moral di sekolah untuk tangani masalah sosial

P-Sundramoorthy-subject2PETALING JAYA: Seorang ahli kaji jenayah menyeru kerajaan menggantikan Pendidikan Moral sebagai matapelajaran di sekolah dengan Tingkah Laku Sosial Manusia kerana ia akan lebih membantu menangani gejala sosial dalam kalangan pelajar sekolah.

Prof Madya P Sundramoorthy dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata matapelajaran baharu itu akan lebih berkesan menangani seks siber, penyalahgunaan dadah dan alkohol, tahap kesihatan rendah, buli dan gangsterisme.

Beliau berkata langkah itu antara syor-syor penyelidikan oleh USM beberapa tahun lalu tentang bagaimana mengekang masalah sosial di sekolah dan dalam masyarakat.

Beliau berkata matapelajaran baharu itu, merangkumi semua aspek tingkah laku, termasuk masalah psikologi, harus diajarkan pada para pelajar seawal usia 9 tahun dan dijadikan sebahagian daripada pengajian sehingga tamat Tingkatan 5.

Pendidikan seks topik yang sangat penting kerana seks siber banyak berlaku dalam kalangan pelajar sekolah kerana laman pornografi mudah diakses semua orang.

“Banyak laman pornografi disekat kerajaan tetapi ada banyak cara lain lagi yang mudah didapati kanak-kanak.

“Seperti Facebook yang disekat di China tapi ramai masih boleh mengaksesnya,” katanya.

“Ramai kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah terbiar tanpa selia dan kerana ingin tahu, mahu seronok atau terbiasa, menonton porno,” katanya.

“Mereka yang ketagih jadi penyumbaleweng dan mungkin cuba buat sesuatu pada bayi yang tidak boleh bercakap atau mereka yang berusia 5 atau 6 yang tidak tahu apa yang sedang berlaku,” katanya kepada FMT.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini berkata hukuman yang dikenakan pada anak muda bawah umur seharusnya bersifat pemulihan daripada punitif.

Beliau berkata institusi pendidikan dan pemulihan seperti Sekolah Henry Gurney antara langkah berkesan menangani pesalah undang-undang juvana.

Beliau mengulas laporan 159 kanak-kanak ditahan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau Sosma pada 2017.

Sundramoorthy berkata kanak-kanak perlu sedar tentang sebab penyalahgunaan dadah dan alkohol, gangsterisme dan buli.

Beliau berkata mereka harus tahu bagaimana mengenalpasti penyumbaleweng dan pedofil melalui pendidikan seks.

Beliau berkata mereka harus diajar mengenai impak isu-isu itu ke atas kehidupan seseorang.

“Ramai kanak-kanak terlibat tidak faham akibat perbuatan jenayah mereka ke atas hidup mereka,” katanya.