Guan Eng: Syarikat fesyen tak bina terowong, jalan di Pulau Pinang

lim-guan-eng-Wee-Ka-Siong-penangGEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, syarikat fesyen Voir Holdings Bhd yang mempunyai saham dalam syarikat tujuan khas (SPV) membina terowong dasar laut dan 3 lebuh raya, tidak terbabit dalam projek itu.

Katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wee Ka Siong cuba mengelirukan rakyat dengan membuatkan syarikat itu kelihatan akan membina infrastruktur berkenaan.

Beliau berkata, syarikat yang akan terbabit secara langsung dalam projek pembinaan itu ialah China Railway Construction Corporation (CRCC).

“Mana mungkin sebuah syarikat fesyen membina jalan? Jangan kita terpedaya,” katanya pada sidang media hari ini.

Pada 13 Januari lalu, Wee yang juga timbalan presiden MCA meminta kerajaan Pulau Pinang menjelaskan kenapa syarikat fesyen tempatan itu disenaraikan sebagai pemegang saham dalam Consortium Zenith Construction Sdn Bhd yang mendapat projek itu.

Katanya, hasil pemeriksaan MCA mendapati Voir Holdings memiliki kebanyakan saham dalam Consortium Zenith, manakala baki 39% saham dipegang beberapa penama lain.

Katanya, kerajaan negeri pimpinan DAP itu pada awal 2013 mengumumkan saham dalam SPV itu akan dimiliki 2 gergasi pembinaan China yang disokong modal berbayar RM4.6 bilion.

Pengerusi Consortium Zenith, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli juga pengerusi Voir Holdings.

Lim berkata, kerajaan tidak campur tangan dalam struktur pemegang saham SPV kerana ia untuk pelabur swasta.

Katanya, hanya kerana Kementerian Kewangan memperolehi 51% saham dalam syarikat memajukan projek menara Exchange 106 di Tun Razak Exchange, ia tidak bermakna kementerian berkenaan membangunkan bangunan pencakar langit itu.

“Kami tahu mereka hanya melabur. Mereka bukan kontraktor mahupun pemaju.”

Lim turut mengedarkan salinan kontrak untuk projek lebuh raya itu yang ditandatangani pada 2016 antara kerajaan Pulau Pinang, Consortium Zenith dan Beijing Urban Construction Group (BUCG).

BUCG bagaimanapun dikeluarkan daripada projek itu pada September 2016 selepas didapati bertanggungjawab terhadap tragedi besi penyangkut kren jatuh dari tapak pembinaan dan menghempap seorang pemandu kereta di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.

Lim berkata, tender projek itu ditawarkan jawatankuasa tender negeri yang diketuai Setiausaha Negeri, Datuk Seri Farizan Darus.

Bagaimanapun katanya, beliau mahupun exco lain tidak terbabit dalam jawatankuasa itu.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2km itu menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan 3 lebuh raya utama, yang pembinaannya dijadualkan bermula 2023.

Tiga lebuh raya itu adalah Jalan Pesisir Pantai Utara sepanjang 10.53km yang menghubungkan Tanjung Bungah dan Teluk Bahang, lencongan dari Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (5.7km) dan Persiaran Gurney ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (4.1km).